''Masalah bumbung bocor ini berlaku sejak 2010 lagi dan kos

Kerajaan Jepun sumbang dana baiki masalah bocor di St. Nicholas Home Penang

CARMEN Chew (kiri) dan Orikasa Hiroyuki (kanan) meninjau keadaan bumbung di St. Nicholas Home Penang di Bagan Jermal, Georgetown yang telah dibaiki menerusi dana Grant Assistance for Grassroots Human Security Project daripada kerajaan Jepun.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

GEORGE TOWN: Masalah bumbung bocor yang dihadapi pusat pendidikan bagi orang kurang upaya penglihatan,  St. Nicholas Home Penang di Bagan Jermal, di sini sejak 2010 akhirnya diselesaikan dengan bantuan kerajaan Jepun.

Pengurus Besar St. Nicholas Home Penang, Carmen Chew berkata, menerusi dana daripada Grant Assistance for Grassroots Human Security Project daripada kerajaan Jepun, bumbung di tiga blok institusi itu yang bocor dapat dibaiki sepenuhnya pada 5 Mei tahun lalu.

”Masalah bumbung bocor ini berlaku sejak 2010 lagi dan kos untuk membaiki bumbung agak tinggi bagi kami.

”Jadi, pada 2020, kami memohon geran untuk membaiki bumbung bocor daripada kerajaan Jepun dengan menyerahkan kertas kerja kepada Kedutaan Jepun di Malaysia dan diluluskan,” katanya.

Beliau ditemui pada majlis penyerahan Grant Assistance for Grassroots Human Security Project itu di St. Nicholas Home Penang, di sini hari ini.

Yang turut hadir, Konsul Jeneral Jepun, Orikasa Hiroyuki.

Menurut Carmen, pihaknya dan pelajar  St. Nicholas Home Penang berterima kasih kepada kerajaan Jepun dan Konsul Jeneral Jepun yang telah membantu membaiki bumbung yang bocor itu.

”Sebelum ini, kami tidak dapat menggunakan tingkat atas di tiga blok yang mengalami kerosakan bumbung setiap kali hujan.

”Ini kerana lampu akan terpadam disebabkan air memasuki ruang wayar elektrik dan juga berbahaya kepada para penghuni.

”Sekarang, selepas masalah bumbung bocor ini diselesaikan, tingkat atas ketiga-tiga blok ini yang menempatkan perpustakaan, bilik IT dan sebagainya dapat digunakan dengan selamat,” katanya.

Dalam pada itu, Hiroyuki berkata, keseluruhan dana geran bagi projek membaiki bumbung di tiga blok St. Nicholas Home yang bocor itu berjumlah RM170,444.

”Kami berbesar hati dapat membantu mengembalikan senyuman kepada penghuni di St. Nicholas Home selepas masalah bumbung bocor ini dapat diselesaikan.

”Secara keseluruhannya, sejak 1989, kerajaan Jepun telah menyumbang kira-kira RM19.7 juta kepada 158 projek di Malaysia menerusi Grant Assistance for Grassroots Human Security Project,” katanya. –UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN