Kenyataan PM tepat bahawa Israel perlu berhenti dasar Apartheid -

Kenyataan PM tepat bahawa Israel perlu berhenti dasar Apartheid

Mohd. Azmi Abdul Hamid
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SHAH ALAM: Majlis Perundingan Pertubuhan Islam Malaysia menganggap pernyataan Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob bahawa Israel sebagai entiti yang mengamalkan dasar Apartheid adalah tepat. 

Menurut Presidennya, Mohd. Azmi Abdul Hamid, pihaknya senada dengan Perdana Menteri dan turut menegaskan Dasar Apartheid Israel tersebut perlu dihapuskan serta-merta. 

“Apartheid adalah suatu jenayah. Perlakuan ganas dan diskriminatif Israel ke atas warga Palestin memenuhi seluruh ciri apartheid yang melanggari undang-undang antarabangsa.

“Laporan Suruhanjaya Ekonomi dan Sosial Asia Barat PBB (U.N. Economic and Social Commission for Western Asia – ESCWA), 2014 jelas merekodkan bukti dasar penjajahan , apartheid dan penghapusan etnik Israel ke atas Palestin,”katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Terdahulu, Ismail Sabri ketika berucap pada Perhimpunan Agung Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) (UNGA) 77 berkata,  kebanyakan negara begitu cepat bertindak dalam kes yang berlaku di Ukraine, Malaysia mahu tindakan sama diambil bagi menyelesaikan isu di Palestin. 

Israel kata Ismail Sabri perlu berhenti menjadi sebuah entiti Apartheid.

Mohd.Azmi berkata,  tuntutan Malaysia agar Apartheid Israel dihentikan adalah selaras dengan undang-undang antarabangsa.

Malah jelasnya lagi,  Israel mesti didakwa di mahkamah dunia atas pelanggaran hak asasi manusia dan jenayah apartheid.

“Penegasan dalam ucapan Perdana Menteri terhadap penindasan yang dilakukan oleh Israel ke atas Palestin amat dialu-alukan sebagai penzahiran sikap penentangan Malaysia yang konsisten mengenai penjajahan Israel di Palestin.

“Resolusi Majlis Keselamatan PBB 2334  yang dilulus pada 2016 dengan undian 14 – 0 (US berkecuali ) untuk menolak penempatan haram Israel ke atas Wilayah yang diduduki di Palestin adalah bukti jelas PBB tidak berdaya untuk bertindak,”katanya.

Mengulas lanjut, Mohd. Azmi berkata, sikap kuasa dunia yang mengamalkan dwi standard dan hipokrit berhubung isu perang Russia dan Ukraine dan kezaliman dan kekejaman Israel ke atas Palestin yang sudah lebih tujuh dekad berlarutan , sangat jelas. 

Beliau menambah, pernyataan kekesalan dan kritikan Malaysia terhadap badan dunia yang melayani isu Palestin secara berat sebelah berbanding perang di Ukraine sangat tepat dan perlu ditegas-ulang dalam semua forum antarabangsa.

“Kami mengharapkan sentuhan ucapan PM di UNGA ke 77 itu mengenai isu keadilan untuk warga Palestin dan membantah pelbagai layanan zalim Israel keatas warga Palestin di wilayah Palestin yang diduduki (OPT), akan diambil kira oleh dunia dengan serius.

“Sudah sampai masanya ucapan retorik pemimpin  dunia setiap kali di sidang UNGA , diterjemahkan dalam bentuk tindakan konkrit. 

“Tekanan politik dan undang-undang antarabangsa keatas Israel perlu dilancarkan dengan bersungguh dan tegas,”katanya. –UTUSAN

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya.