Kaum lain pun ada dalam Kabinet - Utusan Malaysia

Kaum lain pun ada dalam Kabinet

RAZLAN RAFII
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Kabinet yang ada selepas tumbangnya kerajaan Pakatan Harapan (PH) turut dianggotai kaum lain dan tidak sewajarnya dikaitkan dengan kaum tertentu sahaja.

Bercakap kepada Utusan Malaysia, Ahli Majlis Tertinggi UMNO, Datuk Mohd. Razlan Rafii berkata, sehubungan itu adalah tidak wajar bekas Peguam Negara, Tan Sri Tommy Thomas menimbulkan persoalan yang mengaitkan kaum Melayu dengan dakwaan beliau mengenai kerajaan gagal.

Menurutnya, Tommy sebagai seseorang yang pernah mengetuai Jabatan Peguam Negara tidak wajar mengeluarkan kenyataan seumpama itu memandangkan kerajaan hari ini bukan hanya terdiri daripada pemimpin Melayu sahaja.

“Malah sejak dahulu, setiap kaum diberikan ruang untuk menganggotai Kabinet. Adakah kerajaan hari ini didominasi orang Melayu sedangkan ada bangsa lain.

“Sebagai seorang bekas Peguam Negara, beliau tidak sepatutnya mengeluarkan kenyataan seperti ini,” katanya ketika dihubungi semalam.

Sabtu lalu, Tommy mencadangkan pembangkang menimbulkan persoalan kepada pengundi sama ada dua kerajaan yang diterajui oleh pemimpin Melayu selepas tumbangnya PH pada 2020 lebih baik atau sebaliknya.

Bekas Peguam Negara itu berkata demikian dalam Forum Dark Forces Towards GE15 di Dewan Perhimpunan Cina Kuala Lumpur Dan Selangor (KLSCAH).

Tommy juga berkata, pembangkang perlu menjadikan usaha memerangi rasuah sebagai iltizam mereka dalam PRU15 dan mendakwa kedua-dua kerajaan selama ini terpalit dengan budaya itu di samping menjuarai isu kos sara hidup dan peningkatan inflasi.

Beliau turut menyatakan keyakinan bahawa Pakatan Harapan (PH) akan kembali berkuasa pada PRU akan datang jika terdapat peratusan tinggi orang yang keluar mengundi.

“Jika anda boleh dapat 60 peratus daripada pengundi muda dan 80 peratus daripada purata nasional, saya jamin akan ada kemenangan berulang pada PRU15 dan kita akan ada kerajaan baharu,” katanya yang kemudian menerima tepukan peserta forum tersebut. –UTUSAN

 

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN