SEPANG: Jumlah trafik penumpang udara negara tahun ini dijangka meningkat antara 197 hingga 347 peratus berbanding tahun lalu iaitu membabitkan pergerakan jumlah penumpang antara 32.6 juta hingga 49 juta penumpang menjelang akhir tahun ini.
Menteri Pengangkutan, Datuk Seri Wee Ka Siong berkata, unjuran dikeluarkan Suruhanjaya Penerbangan Malaysia (MAVCOM) itu menunjukkan pertumbuhan sebanyak 574.6 peratus berbanding tempoh yang sama tahun lalu.
Beliau berkata, jumlah trafik kargo udara tahun ini pula dijangkakan berkembang antara 3.9 peratus hingga 6.7 peratus berbanding 21.5 bilion hingga 22 bilion Freight Tonne Kilometres (FTK) tahun lalu.
“Selain itu, bagi enam bulan pertama tahun ini, jumlah pergerakan pesawat mencatatkan sebanyak 288,076 pergerakan dan jumlah ini adalah sebanyak 81.65 peratus daripada keseluruhan jumlah pergerakan pesawat pada Januari hingga Disember 2021 (352,813).
“Berdasarkan data semasa dan ramalan dilakukan Persatuan Pengangkutan Udara Antarabangsa (IATA), jumlah penumpang udara akan pulih sepenuhnya paling awal menjelang 2024 bergantung kepada situasi semasa di rantau,” katanya ketika merasmikan Program Keselamatan Penerbangan Kebangsaan (SSP) di Pusat Kawalan Trafik Udara Kuala Lumpur (KLATCC) di sini hari ini.
Katanya, SSP adalah satu program bersejarah dalam usaha kerajaan untuk memperkukuhkan aspek keselamatan dan perihal selamat dalam industri penerbangan awam negara.
Ka Siong berkata, berdasarkan peruntukan Annex 19 – Safety Management, Chicago Convention telah mensyaratkan semua negara yang menyertai perlu menyediakan sebuah dokumen SSP bagi mencapai pematuhan piawaian keselamatan industri penerbangan awam negara.
Menurutnya, sejajar dengan fasa pemulihan industri penerbangan awam negara, aspek-aspek perihal keselamatan perlu diberikan perhatian utama oleh semua pihak termasuk Pihak Berkuasa Penerbangan Awam Malaysia (CAAM) dan semua penyedia perkhidmatan penerbangan awam dalam negara.
“Semua pemain industri penerbangan awam perlu mematuhi aspek-aspek keselamatan dan perihal selamat yang ditetapkan dan kementerian tidak akan berkompromi dalam perkara yang melibatkan keselamatan penumpang.
“Kementerian melalui CAAM tidak akan teragak-agak untuk mengambil tindakan tegas kepada mana-mana pihak yang mengabaikan ketetapan dan piawaian keselamatan yang ditetapkan,”katanya.
Dalam pada itu, Ka Siong berkata, Kementerian Pengangkutan (MOT) akan berusaha mengekalkan kedudukan sebagai Ahli Majlis Pertubuhan Penerbangan Awam Antarabangsa (ICAO).
Menurutnya, sebelum ini, MOT melaksanakan pelbagai inisiatif dan usaha menjelang pemilihan semula bagi penggal keenam berturut-turut dalam Majlis ICAO bagi penggal 2022-2025 tidak lama lagi.
“Kita banyak melakukan inisiatif yang telah, sedang dan akan dilakukan walaupun bukan semata-mata mahu kekalkan kerusi.
“Selain pemilihan, tahun depan kita akan berdepan dengan audit, ini juga satu perkara penting,” katanya. –UTUSAN