JPV ambil sampel air di Tanjung Sepat - Utusan Malaysia

JPV ambil sampel air di Tanjung Sepat

PEMANDANGAN udara tapak ternakan babi yang terletak berhampiran pantai dicemari dengan bahan kumbahan babi di Tanjong Sepat di sini baru-baru ini. -UTUSAN/ MUHAMAD IQBAL ROSLI
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PUTRAJAYA: Selepas empat hari pendedahan Utusan Malaysia berhubung pencemaran teruk laut di Tanjung Sepat, Selangor dipercayai akibat air kumbahan dari ladang ternakan babi, Jabatan Perkhidmatan Veterinar (JPV) membuat tinjauan awal dan melaksanakan pemeriksaan lebih lanjut dan menyeluruh dengan mengambil sampel air di kawasan itu.

Memaklumkan perkara itu kepada Utusan Malaysia, JPV berkata, pemeriksaan itu dilaksanakan dua kali iaitu pada Isnin lalu dan semalam disertai pasukan Lembaga Urus Air Selangor (LUAS) di bawah Enakmen Lembaga Urus Air Selangor 1999 (Pindaan 2020) dan Peraturan-Peraturan Kemasukan atau Pelepasan Bahan Pencemar (Negeri Selangor) 2012.

JPV berkata, berdasarkan tindakan pihaknya ke atas ladang ternakan di kawasan berkenaan bagi tempoh tahun 2020 hingga tahun ini, sebanyak 93 surat amaran dikeluarkan kepada penternak yang dikesan mengalirkan air ke luar ladang mereka melebihi kadar Biochemical Oxygen Demand (BOD) ditetapkan iaitu 50 ppm dan ke bawah.

Sehingga kini, jelasnya, hanya empat ladang masih gagal mematuhi syarat tersebut dan tindakan susulan sedang diambil mengikut lunas undang-undang sedia ada.

Berdasarkan rekod terkini JPV, terdapat 118 ladang di selatan Kuala Langat iaitu dari Tanjung Layang hingga Tanjung Sepat yang memelihara sebanyak 227,840 ekor babi.

Sebagai contoh penyelesaian, JPV berpandangan Projek Penternakan Babi Moden yang memberi penekanan kepada sistem bangsal tertutup dan kumbahan sifar wajar diteruskan bagi menyelesaikan isu ini.

“(Untuk rekod) dari tahun 2019 sehingga kini, enam orang didakwa di mahkamah atas kesalahan tersebut termasuk sebuah lori yang dilucuthak terlibat dalam kegiatan ini.

“Penalti bagi kesalahan di bawah Kaedah-kaedah Binatang (Kawalan Penyembelihan) 2009 adalah denda maksimum RM10,000 dan mahkamah boleh memerintahkan karkas binatang, peralatan, kenderaan dan lain-lain barang disita bagi kesalahan ini dilupuskan mengikut peruntukan Seksyen 68 Akta Binatang 1953 atau dilucuthak mengikut Seksyen 74 Akta Binatang 1953,” katanya di sini semalam.

Laporan khas Utusan Malaysia pada 15 September lalu mendedahkan penderitaan kira-kira 7,000 penduduk Tanjung Sepat berdepan masalah pencemaran dipercayai kumbahan ternakan babi di kawasan itu sejak 30 tahun lalu.

Selain bau busuk, air dalam parit dan anak sungai di sekitar kawasan berkenaan berwarna hitam pekat dan mengalir ke laut yang terletak kira-kira 30 meter.

Tinjauan di sekitar Kampung Ladang Tumbuk mendapati, kedudukan kandang babi di hanya terletak 50 hingga 200 meter dengan penempatan penduduk melibatkan sempadan Kuala Langat, Teluk Bunut serta Tanjung Sepat, di sini.

Ekoran pendedahan itu, JPV membuat tinjauan awal dan pihaknya tidak menemui sebarang bukti berkenaan air kumbahan dari ladang ternakan dialirkan keluar tanpa dirawat ke parit awam dan laut.

JPV juga tidak menemui sebarang lokasi yang menjadi tempat penyembelihan babi haram termasuk barang-barang yang biasa digunakan untuk aktiviti tersebut berdasarkan tindakan di bawah punca kuasa perundangan Akta Binatang 1953 (Semakan 2013) yang memfokuskan kepada kawalan penyakit haiwan dan Enakmen Pengawalan Penternakan Babi 1991.

“JPV berpendapat kerjasama dari pelbagai jabatan dan agensi perlu dilaksanakan untuk mengatasi isu yang membabitkan penternakan babi di selatan Kuala Langat kerana ia melibatkan kawasan yang luas, bilangan ladang dan populasi ternakan yang tinggi.

“Pada masa sama, JPV memberi jaminan tindakan penguatkuasaan dilaksanakan sekiranya terdapat sebarang aduan dan kejadian penyembelihan babi secara haram termasuk perbuatan memindah atau menjual babi daripada aktiviti penyembelihan tersebut,” katanya.

JPV sentiasa mengambil tindakan sekiranya mengesan sebarang kejadian wabak penyakit babi dan ketidakakuran dari segi pemeliharaan babi termasuk menyebabkan pencemaran dan kacau ganggu.

JPV juga akan sentiasa bersedia menerima aduan daripada orang ramai untuk meneruskan siasatan dengan lebih terperinci sekiranya terdapat sebarang isu atau aduan berkenaan perkara ini. –UTUSAN

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya