Jawatan guru besar DG52 kekal  - Utusan Malaysia

Jawatan guru besar DG52 kekal 

RADZI Jidin (kanan) meluangkan masa bergambar bersama murid yang menyertai Program Eksplorasi Alam Lestari Siri Ketiga di Pusat Konservasi Hidupan Liar (PKHL) di Sungkai, Tanjung Malim hari ini. - UTUSAN/ASLIZA MUSA
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

TANJUNG MALIM: Kementerian Pendidikan memutuskan untuk mengekalkan jawatan guru besar yang menyandang gred DG52 tanpa perlu kembali bertugas sebagai guru biasa di sekolah rendah.

Menteri Kanan Pendidikan, Datuk Dr. Radzi Jidin berkata, keputusan itu diambil selepas perbincangan diadakan bersama Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) dan Kementerian Kewangan baru-baru ini.

Katanya, perincian berkaitan keputusan tersebut akan diumumkan dalam masa terdekat.

“Perkara ini telah lama kita bincangkan di peringkat kementerian. Apa yang kita buat adalah duduk bersama JPA dan Kementerian Kewangan.

“Saya ingin ucapkan terima kasih kepada JPA dan Kementerian Kewangan di atas persetujuan membolehkan guru-guru ini kekal berada di sekolah sebagai guru besar dengan pendekatan tertentu.

“Untuk guru-guru besar yang terlibat, jangan risau. Cikgu akan kekal sebagai guru besar dan perincian lanjut akan diberikan kemudian. Insya-Allah dalam masa terdekat,” katanya ketika ditemui selepas menghadiri Program Eksplorasi Alam Lestari Siri Ketiga di Pusat Konservasi Hidupan Liar (PKHL) di Sungkai di sini hari ini.

Program anjuran Yayasan Didik Negara (YDN) dan FGV Holdings Bhd. (FGV) itu melibatkan penyertaan 100 murid dari empat buah sekolah di bawah gugusan Felda di Perak iaitu Sekolah Kebangsaan (SK) Sungkai, SK Besout 3, SK Trolak Utara dan SK Sungai Klah.

Mengulas lanjut Radzi berkata, pihaknya memberi jaminan bahawa keputusan mengekalkan guru besar pada jawatan masing-masing tidak mengganggu proses kenaikan pangkat guru-guru lain.

“Dalam konteks ini, tidak jadi masalah memandangkan mereka ini pentadbir sekolah. Akan ada pentadbir yang bersara, ada yang baru pula akan dipilih dan proses ini berterusan.

“Apa yang paling penting, guru-guru besar yang telah mencapai gred sepatutnya dan dikatakan perlu kembali (mengajar), cikgu boleh kekal sebagai guru besar untuk tempoh yang ada,” katanya.

Terdahulu, media melaporkan kira-kira 200 guru besar di Semenanjung yang akan naik gred ke DG52 dalam tempoh dua tahun ini buntu memikirkan nasib mereka yang dikatakan akan ‘turun pangkat’ dengan kembali bertugas sebagai guru biasa di sekolah rendah.

Kesatuan Guru Kebangsaan Lepasan Maktab Semenanjung Malaysia (KKGLMSM) mahu kajian semula dilakukan terhadap perkara itu memandangkan kebanyakan guru besar yang bakal dinaikkan ke gred DG52 masih muda dan tempoh untuk bersara masih jauh.  –UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya