HULU TERENGGANU: Ibu Pejabat Polis (IPD) Hulu Terengganu di sini menghasilkan produk inovasi kenderaan dua alam Amfibia Qber II yang boleh bergerak di daratan dan air bagi kegunaan kerja-kerja menyelamat khususnya ketika musim banjir.
Produk inovasi itu idea Ketua Polis IPD Hulu Terengganu, Deputi Superintenden Mohd. Adli Mat Daud. Kenderaan Amfibia Qber II dihasilkan menggunakan barangan terpakai.
Ketua Polis Terengganu, Datuk Rohaimi Md isa berkata, kenderaan bot amfibia itu merupakan produk inovasi Kumpulan Inovatif Kreatif (KIK) terbaharu IPD Hulu Terengganu yang sesuai untuk digunakan semasa banjir terutamanya di kawasan yang terputus hubungan jalan darat.
“Amfibia Qber II disiapkan dalam tempoh enam bulan dengan kos keseluruhan RM11,000 dan mampu memuatkan enam penumpang pada satu-satu masa.
“Berbanding Amfibia Qber yang juga hasil inovasi IPD Hulu Terengganu sebelum ini, Amfibia Qber II ini lebih praktikal digunakan semasa situasi banjir atau kerja menyelamat di kawasan sukar kerana saiznya lebih kecil serta penambaikan dilakukan,” kata selepas menyempurnakan Majlis Perasmian Produk Inovasi KIK Amfibia Qber II di Pengkalan Lawit, Tasik Kenyir, di sini hari ini.
Menurut beliau, bagi menjamin keselamatan dan keberkesanan bot dua alam itu, ujian percubaan dijalankan enam kali dan kekuatan enjin 50 kuasa kuda namun pada situasi sebenar kekuatan bergantung kepada keadaan semasa.
Sementara itu, Mohd. Adli pula berkata, Amfibia Qber II sepanjang 4.27 meter dan 2.44 meter lebar itu adalah produk ketiga dihasilkan pihaknya selepas Amfibia Qber dan pos operasi bergerak serba guna yang berfungsi sebagai pusat khidmat pelanggan bergerak. – UTUSAN