KOTA BHARU: Penggunaan simbol bulan atau logo Perikatan Nasional (PN) untuk calon yang mewakili Pas hanya akan diketahui apabila berlakunya pembubaran Dewan Rakyat bagi memberi laluan kepada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15).
Setiausaha Agung Pas, Datuk Seri Takiyuddin Hassan berkata, penggunaan logo merupakan sebahagian daripada strategi politik yang boleh mempengaruhi kemenangan parti selain faktor calon dan gerak kerja sepanjang tempoh berkempen.
Menurutnya, buat masa ini Pas mempertimbangkan segala cadangan daripada pelbagai pihak berhubung logo yang akan digunakan pada PRU15.
“Pada masa yang sama kita sedang membuat perbincangan dan cadangan kerana setakat ini PN tidak menghalang penggunaan simbol bulan,” katanya ketika diminta mengulas isu penggunaan simbol bulan oleh Pas pada PRU15 selepas merasmikan Karnival Jualan Murah ‘Kota Bharu Prihatin’ di Gelanggang Seni, di sini hari ini.
Utusan Malaysia pada 3 September lalu melaporkan, selepas Kelantan, Terengganu dan Kedah yang mahu menggunakan lambang ‘bulan’ PRU15, giliran Selangor menyuarakan keinginan sama demi memastikan misi merampas negeri itu daripada Pakatan Harapan (PH) berjaya.
Permintaan itu disuarakan Timbalan Pesuruhjaya Pas Selangor, Noor Najhan Mohamad Salleh ketika sesi perbahasan mewakili negeri itu sempena Muktamar Tahunan Pas ke-68.
Pendekatan itu juga adalah salah satu cara untuk memastikan PH tidak lagi menjadi kerajaan di Selangor pada pilihan raya akan datang. –UTUSAN