Fasa peralihan monsun bermula 3 Oktober - Utusan Malaysia

Fasa peralihan monsun bermula 3 Oktober

BANYAK kenderaan ditenggelami air di kawasan letak kereta di Wisma Persekutuan berikutan hujan lebat selama dua jam di Johor Bahru disini baru-baru ini. -UTUSAN/RAJA JAAFAR ALI
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Fasa peralihan monsun dijangka bermula pada 3 Oktober ini dan bakal berterusan sehingga November.

Ketua Pengarah Jabatan Meteorologi Malaysia (Met Malaysia), Muhammad Helmi Abdullah berkata, permulaan fasa tersebut juga menandakan berakhirnya Monsun Barat Daya yang bermula sejak 14 Mei lalu.

Menurut beliau, melalui peralihan fasa monsun itu, ia mampu menyebabkan keadaan cuaca ekstrem dalam waktu singkat dan turut berpotensi menyebabkan banjir kilat di beberapa kawasan.

“Semasa fasa peralihan monsun, rantau negara ini akan menerima tiupan angin lemah daripada pelbagai arah yang sesuai untuk kejadian ribut petir yang lazimnya membawa hujan lebat beserta angin kencang dalam jangka masa singkat.

“Kejadian ini berlaku terutamanya pada waktu petang dan awal malam di kebanyakan kawasan di negeri-negeri di Pantai Barat dan pedalaman Semenanjung, barat Sabah serta tengah Sarawak. Keadaan cuaca ini berpotensi menyebabkan banjir kilat serta kerosakan pada struktur yang tidak kukuh,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Sementara itu, Muhammad Helmi turut menasihati orang ramai untuk berwaspada ketika fasa peralihan monsun dan sentiasa peka dengan ramalan mahupun amaran cuaca yang dikeluarkan oleh Met Malaysia.

“Orang ramai dinasihatkan untuk lebih berwaspada ketika tempoh ini dan sentiasa peka dengan ramalan dan amaran cuaca yang dikeluarkan oleh Met Malaysia melalui laman web rasmi, aplikasi mudah alih myCuaca dan media sosial rasmi Jabatan.

“Orang ramai juga boleh menghubungi Hotline Jabatan 1-300-22-1638 bagi sebarang pertanyaan lanjut,” katanya.-UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya