PETALING JAYA: Seorang pembantu rumah warga Indonesia ditahan bagi membantu siasatan kehilangan duit majikannya sebanyak RM50,000 di Pandan Prima, Ampang pada 14 September lalu.
Amah berusia 58 tahun dan bekerja dengan majikan tujuh tahun lalu ditahan pukul 9 malam tadi di pekarangan Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Ampang Jaya.
Ketua Polis Daerah Ampang Jaya Asisten Komisioner Mohamad Farouk Eshak berkata, majikan amah itu iaitu seorang suri rumah berusia 37 tahun menyedari wang tunai disimpannya di dalam beg tangan yang diletakkan dalam stor rumahnya hilang pada pukul 4 petang, 15 September.
Menurut beliau, duit yang hilang itu ditunaikannya pada 14 September lalu daripada akaun syarikat milik suaminya dengan tujuan untuk disimpan di dalam akaun Amanah Saham Bumiputera (ASB) milik anak-anak pasangan itu tetapi tidak sempat berbuat demikian pada hari tersebut kerana sibuk dengan urusan perpindahan.
“Pembantu rumah itu telah bekerja sebagai pembantu rumah dengan mangsa lebih kurang tujuh tahun dan tiada rampasan dibuat semasa tangkapan,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.
Beliau berkata, hasil semakan mendapati pembantu rumah itu tiada dokumen perjalanan selain tidak mempunyai kesalahan lampau dan ujian saringan air kencing juga negatif dadah.
Katanya, polis mendapat perintah reman empat hari sehingga 24 September ini dan siasatan dilakukan mengikut Seksyen 381 Kanun Keseksaan iaitu curi.
Jika sabit kesalahan boleh dihukum tujuh tahun dan boleh juga dikenakan denda.- UTUSAN