PETALING JAYA: Pembersihan Hutan Simpan Kekal Bukit Cerakah (HSKBC) menyebabkan kawasan tersebut tidak lagi menjadi lokasi persinggahan ribuan spesies burung yang berhijrah.
HSKB didakwa tidak berhenti diancam pembersihan dan menerusi pewartaan terbaharu pada 5 Mei lalu, kawasan tersebut sudah 22 kali dinyahwarta sejak 1924 sekali gus menyebabkan habitat haiwan di kawasan berkenaan juga musnah.
Bercakap kepada Utusan Malaysia, Presiden Pertubuhan Sahabat Alam Sekitar Malaysia (SAS), Datuk Seri Abdul Malek Yusof berkata, dahulu HSKBC adalah hutan dalam bandar yang menjadi persinggahan burung hijrah sekali gus menarik pelancong.
Bagaimanapun, menurut beliau, semua itu tinggal kenangan selepas berlaku pembersihan hutan menerusi nyahwarta selain pembangunan yang dilakukan oleh pihak-pihak tertentu.
“HSKBC sebelum ini tempat persinggahan ribuan burung hijrah, macam-macam spesies seperti flamingo. Di kawasan berkenaan juga sebenarnya habitat harimau kumbang, bila semua ini (pembersihan) terjadi maka habitat haiwan itu musnah.
“Sama juga dengan monyet, sekarang habis keluar tinggalkan habitat asal dan masuk ke kawasan Seksyen 7 dan Seksyen 8 di Shah Alam. Ini berlaku disebabkan kemusnahan habitat asal. Kita bukan sahaja mahu lindungi manusia, nasib haiwan-haiwan juga perlu difikirkan,” kata beliau ketika dihubungi.
Status
Menurut beliau, kerajaan negeri sepatutnya mempertahankan status HSKBC sebagai hutan simpan kekal kerana hanya lokasi itu sahaja hutan yang ada di Shah Alam untuk menjadi kawasan tadahan air.
Sebelum ini, Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Amirudin Shari menjelaskan, nyahwarta pada Mei itu perlu diteruskan berikutan kerajaan negeri tidak mahu disaman oleh pemilik tanah dan pemaju kerana kelulusannya dibuat sebelum 2008 iaitu ketika Barisan Nasional (BN) mentadbir Selangor.
Namun, peguam, Rajesh Nagarajan yang mewakili Pertubuhan Pelindung Khazanah Alam (Peka) dan Persatuan Rimba Komuniti Shah Alam (SACF) mendakwa, nyahwarta itu mengelirukan apabila Warta Kerajaan Negeri yang disiar pada Mei menunjukkan tarikh penyahwartaan pada 14 April 2022.
Mengulas lanjut, Abdul Malek berkata, kerajaan negeri perlu melihat semula agensi-agensi yang terlibat dalam pengurusan HSKBC yang ketika ini lebih cenderung untuk memenuhi kantung mereka termasuk melalui pembukaan ladang tanaman.
“Kerajaan negeri kena main peranan aktif, banyak sangat jabatan dan agensi yang berada di HSKBC ini tidak kisah dengan alam semula jadi.
“Buka ladang tanaman dan buat duit sehingga mengabaikan alam sekitar,” katanya.- UTUSAN










