"Situasi yang berlaku ketika ini tidak ada kena mengena dengan

Air terjun keruh, berkeladak bukan disebabkan pembalakan – Samsuri

DR. AHMAD SAMSURI MOKHTAR
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA TERENGGANU: Menteri Besar, Datuk Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar menegaskan air yang keruh dan berkeladak di Air Terjun Sungai Lasir, Tasik Kenyir, Hulu Terengganu bukan disebabkan aktiviti pembalakan.

Sebaliknya, beliau berkata, situasi itu disebabkan hujan lebat yang sering berlaku dan aliran deras dari bukit turun memasuki tasik dan sungai-sungai di kawasan Kenyir.

“Situasi yang berlaku ketika ini tidak ada kena mengena dengan pembalakan. Kalau kita masih ingat apa yang berlaku baru-baru ini (kejadian banjir buruk pada akhir Februari lalu) ada kelihatan seolah-olah kayu-kayu balak yang jatuh (dalam tasik) akibat banjir.

“Ada pihak kata ini disebabkan oleh pembalakan sedangkan penelitian Jabatan Perhutanan serta jabatan-jabatan berkaitan yang lain dan saya sendiri pergi tinjau ke kawasan berkenaan pada waktu itu, ia bukan disebabkan pembalakan. 

“Namun, runtuhan bukit yang kuat ini mengakibatkan aliran air membawa sekali pokok-pokok kayu (di sepanjang laluannya), seolah-olah disebabkan satu pembalakan, tetapi ia tidak sebenarnya,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui pada majlis penyerahan tunggakan elaun imam dan bilal negeri Terengganu di Wisma Darul Iman, di sini, hari ini.

Utusan Malaysia hari ini melaporkan keindahan Air Terjun Sungai Lasir di Tasik Kenyir lokasi tarikan pelancong di Terengganu ‘merosot’ apabila air nya keruh dan berkeladak dipercayai akibat aktiviti pembalakan.

Jika perkara itu tidak ditangani, Tasik Kenyir akan hilang ‘serinya’, seterusnya hilang tarikan sebagai kawasan pelancongan.

Keadaan tersebut membimbangkan pengusaha bot dan penduduk kerana jika dibiarkan berterusan, ia akan menjejaskan industri pelancongan di Tasik Kenyir.

Dr. Ahmad Samsuri memberitahu, beliau membaca laporan muka depan Utusan Malaysia mengenai perkara itu dan ambil maklum mengenainya.

“Sebelum ini, saya sendiri tinjau  dengan menaiki helikopter ke kawasan Kenyir dan melihat sendiri runtuhan bukit yang tak ada kena mengena dengan pembalakan. 

Untuk spesifik kes yang disebut ini (ditanya pemberita), saya tahu lah dalam media pun dah laporkan. 

“Saya sentiasa berkomunikasi dengan Pengarah Jabatan Perhutanan Negeri sekiranya ada isu-isu baharu (yang terlepas pandang) dan buat masa ini tak ada lah,” katanya.

Tambahnya, semua aktiviti yang berkaitan dengan perhutanan dan pembalakan di Terengganu mempunyai syarat-syaratnya yang ketat agar tiada sebarang pencemaran akibat daripada pembalakan. –UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN