fbpx

Adakah pembangkang tidak tahu atau buat-buat tidak tahu – Onn Hafiz

Ahli Parlimen Kluang, Wong Shu Qi mendakwa UMNO dan BN yang menguasai 37 daripada 56 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Johor menolak enakmen tersebut.

JOHOR BAHRU: Menteri Besar, Datuk Onn Hafiz Ghazi mempersoalkan kredibiliti pembangkang selaku pemimpin masyarakat kerana dilihat lebih banyak menabur fitnah untuk menimbulkan kebencian masyarakat terhadap kerajaan.

Menurutnya, antara buktinya adalah kenyataan terbaharu Ahli Parlimen Kluang daripada DAP yang ternyata merupakan satu penipuan terhadap kerajaan negeri.

Onn Hafiz Ghazi

“Posting terbaharu itu adalah satu lagi contoh penipuan pembangkang dalam usaha menghasut rakyat mengenai Enakmen Anti Lompat Parti.

“Adakah pembangkang di Johor tidak tahu atau buat-buat tidak tahu proses undang-undang negara, tidak tahu, bertanya. Malu bertanya sesat jalan,” katanya dalam hantaran terbaharu Facebook rasminya, hari ini.

Pada sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) Johor Ke-15 di Kota Iskandar, Iskandar Puteri semalam, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Skudai, Marina Ibrahim mencadangkan penubuhan jawatankuasa pilihan khas bagi menjalankan kajian dan cadangan Enakmen Anti Lompat Parti.

Cadangan itu bagaimanapun ditolak secara majoriti melibatkan 37 Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN)
manakala 13 ADUN bersetuju supaya undian dijalankan.

Menerusi satu ‘posting’, Ahli Parlimen Kluang, Wong Shu Qi mendakwa UMNO dan BN yang menguasai 37 daripada 56 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Johor menolak enakmen tersebut.

Sehubungan itu, Onn Hafiz menjelaskan bahawa pembangkang Johor perlu tahu perkembangan proses enakmen tersebut dan ia sudah sampai ke peringkat mana.

“Kerajaan negeri tidak pernah menidakkan kepentingan Akta Anti Lompat Parti, sebaliknya akan terus mengikuti proses dan saluran undang-undang yang betul bagi memastikan amalan demokrasi terjamin di Johor.

“Ini juga adalah komitmen Barisan Nasional Johor bagi melunaskan Ikhtiar BN yang diumumkan semasa Pilihan Raya Negeri lalu. Namun, kita tidak perlulah hendak mendahului mana-mana pihak.

“Terkini, Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah akan mendapatkan persetujuan Raja atau Yang di-Pertua Negeri, mengikut mana yang berkenaan sebelum memberi perkenan terhadap Seksyen 6 Akta Perlembagaan (Pindaan) (No.3) 2022,” ujarnya.

Jelas beliau, selepas perundangan itu berkuat kuasa di peringkat negeri, barulah negeri akan meminda Undang-Undang Tubuh atau Perlembagaan Negeri selaras dengan Sekyen 6 Akta A1663 berhubung dengan pindaan Jadual Kelapan, iaitu peruntukan larangan lompat parti. –UTUSAN

 

Ikuti kami di saluran media sosial : Facebook, Twitter, Instagram, Youtube, Telegram & TikTok

BERITA BERKAITAN