fbpx

Ada perkembangan positif kes culik Azi – Polis

MUHAMAD Zaki Harun menyampaikan sumbangan kepada asnaf pada Program Polis Komuniti di Masjid As-Syakirin Mukin Kelewek, Tanah Merah, Kelantan. UTUSAN/ROSMIZAN RESDI

TANAH MERAH: Siasatan kes melibatkan seorang ejen kosmetik wanita dikenali sebagai Azi,36, yang diculik di rumahnya di Kampung Semat Jal, Tumpat minggu lalu setakat ini menunjukkan perkembangan positif.

Pemangku Ketua Polis negeri, Datuk Muhamad Zaki Harun berkata, Polis Kelantan bekerjasama dengan pihak berkuasa Thailand dalam operasi mencari dan menyelamat mangsa.

Menurutnya, polis sedang berusaha untuk menyelesaikan kes tersebut dan penculikan Azi itu turut mendapat perhatian Ketua Polis Negara, Tan Sri Acryl Sani Abdullah Sani yang sentiasa mengikuti perkembangan terkini.

“Pihak polis masih berusaha (dalam siasatan kes). Kita juga sedang bekerjasama dan saling berhubung dengan pihak berkuasa di sana.

“Alhamdulillah, setakat ini, perkembangan amat positif dan kita yakin. Insya-Allah, kita akan mendapat berita baik dan sama-sama berdoa untuk kes ini,” katanya ketika ditemui pemberita pada Program Polis Komuniti di Masjid As-Syakirin, Mukim Kelewek di sini hari ini.

Muhamad Zaki memberitahu, pihaknya meminta kerjasama orang ramai supaya tidak membuat sebarang spekulasi yang boleh mengganggu siasatan pihak polis berhubung kes tersebut.

“Kadang-kadang, ada benda yang tidak boleh dikongsi. Jadi, kita amat masyarakat dapat bekerjasama dalam menyelesaikan kes ini,” katanya.

Utusan Malaysia sebelum ini melaporkan, pihak berkuasa Thailand menyerbu dua buah rumah di tepi Sungai Golok, dipercayai menjadi lokasi Azi disembunyikan selepas dilarikan dari rumahnya di Kampung Semat Jal, Tumpat pada Selasa minggu lalu.

Bagaimanapun, kedua-dua buah rumah itu tiada penghuni semasa serbuan dijalankan.

Siasatan polis mendapati, perselisihan faham antara suami mangsa dengan ahli sindiket dadah yang turut disertainya dipercayai menjadi punca wanita itu diculik. –UTUSAN

Ikuti kami di saluran media sosial : Facebook, Twitter, Instagram, Youtube, Telegram & TikTok

BERITA BERKAITAN

Menarik di Kosmo!