3 Ahli Parlimen, 2 ADUN didakwa mahu lompat masuk PBM - Utusan Malaysia

3 Ahli Parlimen, 2 ADUN didakwa mahu lompat masuk PBM

ZURAIDA KAMARUDDIN (tengah) merasmikan pejabat PBM Johor di Taman Daya, Johor Bahru.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

JOHOR BAHRU: Datuk Zuraida Kamaruddin mendakwa  tiga Ahli Parlimen dan dua Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN)  akan menyertai parti Parti Bangsa Malaysia (PBM) menjelang Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15).

Bagaimanapun, Presiden Penganti PBM yang juga Ahli Parlimen Ampang  itu enggan mendedahkan identiti kelima-lima terbabit pada waktu ini.

 

“Ketika ini PBM ada empat Ahli Parlimen iaitu Ampang (Zuraida), Tebrau (Steven Choong Shiau Yoon), Julau (Larry Sng Wei Shien) dan Silam (Datuk Mohamaddin Ketapi). Ini bermakna ada tiga lagi (Ahli Parlimen) baharu akan sertai PBM.

“Begitu juga dengan ADUN, buat masa ini PBM ada lima ADUN, iaitu tiga di Perak dan dua di Selangor. Jadi, akan ada dua lagi ADUN bakal sertai PBM,” katanya dalam sidang akhbar  di pejabat parti berkenaan di Taman Daya, di sini hari ini.

Turut hadir, Naib Presiden Kanan Parti Bangsa Malaysia (PBM), Steven Choong Shiau Yoon dan kepimpinan PBM yang lain.

Mempunyai

Zuraida berkata, PBM mempunyai lebih 40,000 ahli daripada 177 bahagian yang telah didaftarkan, setakat ini.

“Sudah tiba masanya rakyat Malaysia ini dikenali dengan identiti Bangsa Malaysia dan bukan lagi mengikut latar belakang kaum, dan ini adalah keunikan parti ini yang diterajui oleh masyarakat berbilang kaum.

“Malah, kita juga mempunyai kepimpinan daripada golongan berusia dan muda, menjadikan ini sebagai satu kekuatan buat PBM. Walaupun masih baharu, tetapi lebih kuat daripada beberapa parti politik lain sedia ada,” jelasnya.

Terdahulu, Zuraida yang juga Menteri Perusahaan, Perladangan dan Komoditi merasmikan bangunan ibu pejabat PBM Johor.- UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN