2 bot nelayan Vietnam, 19 kru ditahan ceroboh perairan -

2 bot nelayan Vietnam, 19 kru ditahan ceroboh perairan

BOT nelayan Vietnam yang ditahan selepas dipercayai menceroboh perairan negara di kedudukan 12.8 batu nautika timur laut Pulau Aur, Mersing.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

MERSING: Dua bot nelayan asing dengan 19 kru ditahan kerana disyaki menceroboh perairan negara di kedudukan 12.8 batu nautika timur laut Pulau Aur, semalam.

Pengarah Zon Maritim Mersing, Komander Maritim Khairul Nizam Misran berkata, bot dari Vietnam itu ditahan kira-kira pukul 2.30 petang oleh Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia Zon Maritim Mersing dan Pasukan Polis Marin (PPM).

Katanya, kedua-dua bot telah ditahan ketika sedang melakukan aktiviti menunda pukat secara berganding ketika rondaan dalam operasi penguatkuasaan Op Jaksa dan Op Bersepadu itu. 

“Bertindak hasil aduan makluman awam, bot ronda Zon Maritim Mersing dan dua  bot pasukan Polis Marin Mersing ditugaskan ke lokasi  selepas aduan diterima daripada kru bot memancing yang berada berdekatan dengan pulau tersebut.

“Hasil pemeriksaan ke atas 19 kru termasuk tekong kedua-dua bot nelayan tersebut, mengesyaki mereka adalah warga Vietnam berumur antara 18 hingga 51 tahun. Mereka juga didapati gagal mempamerkan pengenalan diri yang sah,” katanya dalam satu kenyataan hari ini. 

Kes akan disiasat di bawah Akta Perikanan 1985 kerana menceroboh dan menangkap ikan di perairan negara tanpa kebenaran daripada Pengarah Perikanan dan Akta Imigresen 1959/1963 kerana gagal mempamerkan dokumen pengenalan diri yang sah. 

Dua bot beserta peralatan menangkap ikan, hasil tangkapan dianggarkan 3,000 kilogram dan 19 kru ditahan dan dibawa ke Jeti Maritim Malaysia Pos Teluk Gading untuk siasatan lanjut. 

“Hasil rampasan keseluruhan dianggarkan bernilai RM3.1 juta.  Maritim Malaysia secara tegas mengambil serius dan tidak akan berkompromi dengan mana-mana pihak yang terlibat dengan aktiviti pencerobohan vesel penangkapan ikan negara asing bagi mengaut hasil laut dalam perairan negara. 

“Maritim Malaysia mengingatkan seluruh komuniti maritim agar sentiasa mematuhi undang-undang dan sekiranya gagal tindakan sewajarnya akan dikenakan tindakan sewajarnya. 

“Sebarang aduan jenayah segera hubungi talian kecemasan MERS 999 atau Pusat Operasi Maritim Negeri Johor di talian 07-219 9404,” katanya. –UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN