PUTRAJAYA: Sejumlah 186,346 individu termasuk dalam kalangan pengarah syarikat dikenakan sekatan perjalanan ke luar negara selepas gagal menjelaskan cukai pendapatan, cukai keuntungan harta tanah atau korporat kepada Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN).
Ia melibatkan amaun cukai tertunggak sekitar RM12.9 bilion bagi rekod setakat Julai lalu mengikut peruntukan undang-undang di bawah Akta Cukai Pendapatan (ACP) 1967 dan Akta Cukai Keuntungan Harta Tanah (ACKHT) 1976.
Bercakap kepada Utusan Malaysia, Pengarah Pejabat Ketua Pegawai Eksekutif LHDN, Ranjeet Kaur menegaskan, LHDN diberi kuasa menghalang mana-mana individu daripada meninggalkan Malaysia jika mereka mempunyai tunggakan cukai yang tidak dijelaskan kepada kerajaan di bawah Seksyen 104 dan 75A ACP 1967 dan Seksyen 22 ACKHT 1976.
Beliau berkata, tindakan sekatan perjalanan juga boleh dikuatkuasakan kepada pembayar cukai dalam kalangan warga asing yang berkemungkinan meninggalkan atau keluar dari negara ini tanpa membayar cukai mereka.
“Tindakan ini turut terpakai kepada mana-mana pengarah syarikat yang berkemungkinan meninggalkan Malaysia tanpa membayar cukai syarikat yang mana dia bertanggungjawab membayar di bawah Seksyen 75A ACP 1967 atau subperenggan 5(1A) dan 5(4) Jadual 1 Akta CKHT 1976,” katanya di sini, baru-baru ini.
Menurut Ranjeet, pembayar cukai yang telah memfailkan Borang Q (borang rayuan) dan membuat permohonan untuk semakan kehakiman juga boleh dikenakan sekatan perjalanan kecuali dalam kes di mana perintah penangguhan prosiding dikeluarkan mahkamah yang mempunyai bidang kuasa.
“Pembayar cukai yang akan dan telah didakwa bagi kesalahan sivil bagi tujuan kutipan cukai turut boleh dikenakan sekatan perjalanan,” ujarnya.
Mengikut rekod, sehingga 30 April lalu, lebih 2.58 juta Borang Nyata Cukai Tahun Taksiran 2021 diterima daripada kategori pembayar cukai yang tidak menjalankan perniagaan.
Daripada angka ini, sekitar 2.48 juta atau lebih 96 peratus Borang Nyata Cukai diterima melalui kaedah e-Filing manakala selebihnya secara manual atau borang kertas.
Tindakan pemungutan cukai melalui mahkamah boleh diambil serta-merta sekiranya pembayar cukai gagal membayar ansuran pada tarikh kena bayar yang ditetapkan.
Sekiranya pembayar cukai masih gagal membuat bayaran, tindakan-tindakan lain boleh diambil selain sekatan perjalanan ialah Arahan Potongan Gaji (CP38), kaveat, pelantikan ejen, tindakan pemungutan kepada pengarah dan tindakan mahkamah.
Ketidakpatuhan dan pelarian cukai ini dikenakan tindakan mengikut kesalahan di bawah Seksyen 112, 113 dan 114 Akta Cukai Pendapatan 1967.
Mana-mana individu yang didapati sengaja mengelak cukai atau membantu orang lain mengelak cukai boleh didenda RM1,000 hingga 20,000 atau penjara tidak melebihi tiga tahun atau kedua-duanya dan 300 peratus atas cukai terkurang lapor.
Mengulas tindakan sekatan perjalanan, Ranjeet berkata, ia tidak akan dikuatkuasakan terhadap pembayar cukai yang belum dikenakan sekatan perjalanan dan telah diberikan kebenaran untuk pembayaran secara ansuran serta mereka mematuhi jadual ansuran yang telah dipersetujui.
Katanya, pemberitahuan mengenai tindakan sekatan perjalanan akan dibuat ke alamat terakhir yang dikemas kini pembayar cukai kepada LHDN melalui data cukai terkini yang direkodkan dan dihantar melalui emel berdaftar.
“Sekiranya pembayar cukai mempunyai tunggakan cukai dan dilarang ke luar negara, mereka dinasihatkan menghubungi pejabat cawangan LHDN yang mengendalikan fail cukai mereka untuk tindakan sewajarnya.
“Justeru, pembayar cukai dinasihatkan membuat semakan terlebih dahulu di https://sspi.imi.gov.my sebelum berhasrat ke luar negara selain membuat pemantauan dan semakan cukai di e-lejar yang terdapat di MyTax https://mytax.hasil.gov.my.
“Cara ini akan membantu pembayar cukai daripada menghadapi masalah dengan pihak imigresen di pintu keluar negara,” katanya.
Pada masa sama, Ranjeet berkata, jika pembayar cukai telah membayar amaun penuh tunggakan cukai, mereka hendaklah memaklumkan kepada LHDN untuk pemprosesan pembatalan perintah sekatan tersebut.
Sebagai bukti, katanya, LHDN akan menyediakan surat pembatalan sekatan atau pelepasan sementara sekatan sebagai rujukan kepada pembayar cukai selepas pembayaran tunggakan cukai diterima.
Bagi kes-kes pembayar cukai ditahan di mana-mana pintu keluar negara, beliau memberitahu, LHDN akan memproses pembatalan atau pelepasan sekatan perjalanan dengan kadar segera setelah menerima bukti pembayaran daripada pembayar cukai.
“Sebagai tujuan kesedaran terhadap isu sekatan perjalanan ini, LHDN melaksanakan kempen kesedaran pendidikan cukai di pelbagai platform media dan media sosial secara berulang kali menasihati pembayar cukai yang merancang ke luar negara supaya menyemak status cukai mereka terlebih dahulu,” ujarnya. – UTUSAN










