11 ahli keluarga nyaris dihempap pokok - Utusan Malaysia

11 ahli keluarga nyaris dihempap pokok

KEADAAN pokok tumbang menghempap empat buah rumah dalam kejadian ribut di Taman Seri Telok Emas, Melaka. - UTUSAN/RASUL AZLI SAMAD
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

MELAKA: Percutian 11 ahli keluarga ke Melaka hampir berakhir tragedi selepas rumah inap desa yang disewa mereka dihempap pokok besar dalam kejadian di Taman Seri Telok Emas di sini, awal pagi semalam.

Menceritakan detik cemas itu kepada Utusan Malaysia, Shahira Hamdan, 37, berkata, dia bersama 10 ahli keluarga ke negeri ini untuk bercuti dan menziarahi saudara yang sakit.

Katanya, satu daripada tiga kereta ahli keluarganya turut rosak dalam kejadian tersebut.

“Apabila sudah jadi macam ini, terpaksalah kami susun semula perjalanan untuk menziarahi saudara yang sakit.

“Pukul 3.30 kami tersedar apabila dengar bunyi dentuman kuat dan cuba hendak keluar tengok keadaan, tetapi kilat sabung-menyabung jadi kami masuk semula.

“Kira-kira 20 minit kemudian apabila hujan reda sedikit, kami keluar dan terkejut nampak bumbung bahagian hadapan rumah ditimpa pokok besar,” katanya ketika ditemui di lokasi kejadian.

Sementara itu, penduduk berhampiran, Mohamad Rizuan Zainal Abidin, 39, berkata, kejadian pokok tumbang itu menyebabkan bahagian garaj kediamannya rosak.

Katanya, pihak berkuasa tempatan (PBT) perlu segera melakukan pemantauan terhadap semua pokok besar yang ditanam di kawasan perumahan itu bagi mengelakkan insiden serupa berulang.

“Ketika kejadian saya sedang membuat persiapan untuk berniaga di pasar tani berhampiran kawasan rumah.

“Mujurlah hanya bahagian garaj yang rosak, empat ahli keluarga saya termasuk dua anak berusia lima dan dua tahun tidak mengalami sebarang kecederaan,” katanya. –UTUSAN

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN