TLDM bakal miliki dua LCS bukan enam? - Kah Woh - Utusan Malaysia

TLDM bakal miliki dua LCS bukan enam? – Kah Woh

WONG KAH WOH
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Langkah kerajaan meneruskan projek pembinaan kapal tempur pesisir pantai (LCS) menimbulkan persoalan berhubung kos sebenar yang akan dibayar untuk sebuah kapal apabila siap nanti.

Ini kerana dengan berbaki kira-kira RM3 bilion, jumlah kapal LCS yang akan diterima Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) juga berkemungkinan hanyalah dua dan bukannya enam sebagaimana kontrak sebelum ini.

Pengerusi Jawatankuasa Kira-Kira Wang Negara (PAC), Wong Kah Woh berkata, perkara tersebut menjadi kebimbangan memandangkan harga projek itu adalah RM9 bilion tetapi RM6.083 bilion sudah dibelanjakan.

“Daripada kenyataan saksi kepada PAC, RM3 bilion itu cukup nak siapkan dua LCS iaitu yang pertama dan kedua. Sekiranya dua LCS tersebut mampu disiapkan jumlah kos RM9 bilion, apa yang akhirnya kerajaan dapat adalah dua buah kapal sahaja bukannya enam.

“Jadi siapa patut menanggung tanggungjawab ini? Mengapa daripada pemilihan reka bentuk sampai pengilangan peralatan asal (OEM) boleh berlaku banyak kepincangan dan benda yang tidak sepatutnya berlaku?” katanya kepada Mingguan Malaysia baru-baru ini.

Kepincangan

Sebelum ini, PAC menyenaraikan sembilan rumusan sebagai punca kepincangan projek pembinaan enam kapal LCS bagi kegunaan TLDM bernilai RM9 bilion.

Melalui laporan PAC itu, kerajaan sudah membayar RM6.083 bilion untuk projek lima kapal LCS kepada Boustead Naval Shipyard Sdn. Bhd. (BNS) bagi projek runding terus itu, namun tiada kapal diterima setakat ini.

Sebagai rekod, harga kapal kelas Maharaja Lela ini ialah RM1.5 bilion berdasarkan kontrak pembekalan enam buah kapal bernilai RM9 bilion.

Berdasarkan spesifikasi ditetapkan sebelum ini, kapal LCS kelas Maharaja Lela ini memiliki panjang 111 meter dengan dilengkapi meriam Bofors 57 millimeter (mm), meriam MSI Defence DS30 MkII 30mm Remote Control Weapon System (RCWS) dan J+S pelancar torpedo.

Malah, kapal ini boleh dilengkapi peluru berpandu anti kapal Naval Strike Weapon (NSW) yang dibangunkan firma Kongsberg.

Dalam pada itu, berhubung kelewatan penyerahan tiga kapal peronda pesisir pantai (OPV) Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia), Kah Woh berkata, beliau mengambil maklum perkara tersebut dan segala perkara yang berkait rapat dengan kepentingan awam.

“Akan tetapi jujur saya katakan bukan setiap kes PAC boleh siasat kerana dalam laporan Ketua Audit Negara tahun lalu pun sudah ada 15 kes. Semuanya melibatkan kepentingan awam dan kalau nak ambil semua kes, kita tidak mampu untuk bentang dan hasilkan laporan berkualiti.

“Justeru, PAC akan ambil maklum isu-isu yang berbangkit di luar yang melibatkan kepentingan awam. Dan sekiranya perlu, mana-mana kes yang difikirkan sesuai, kita akan buat prosiding.

Kelewatan

Tapi bagi saya, saya tidak buat keputusan berseorangan. Mana-mana kes pun, ahli PAC akan duduk bersama dan fakta dibentangkan sebelum keputusan bersama dibuat,” katanya.
Dalam pada itu, UMNO mendesak kerajaan mempercepatkan penubuhan Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) LCS bagi membolehkan siasatan secara bebas dan menyeluruh dilakukan mengenai projek itu.

Setiausaha Agung UMNO, Datuk Seri Ahmad Maslan berkata, walaupun sudah ada penjelasan daripada pihak bertanggungjawab berhubung projek LCS, tetapi ada pihak lain yang sedang bermain persepsi tentang isu berkenaan dan berniat jahat.

“Isu projek LCS tidak akan menumbangkan Barisan Nasional (BN) kerana sudah ada penjelasan dibuat dan akan terus dibuat oleh pihak yang berkaitan dengan kes ini. Namun, ada kewajaran RCI ditubuhkan,’’ katanya.

Sebelum ini, Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob menggesa Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) dan Jabatan Peguam Negara (AGC) segera bertindak berhubung pendedahan kepincangan projek LCS milik TLDM.

Susulan itu, SPRM dalam satu kenyataannya memaklumkan bahawa kertas siasatan me­ngenai projek LCS telah dikemukakan kepada AGC dengan saranan untuk mempertimbangkan pertuduhan terhadap beberapa individu.- MINGGUAN

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN