PETALING JAYA: Polis menahan tiga lelaki dipercayai ahli sindiket pinjaman ah long dalam serbuan di Klang, Selangor, semalam.
Penahanan kesemua suspek berusia antara 30-an hingga 50-an itu dilakukan selepas mereka mengaku bekerja sebagai khidmat pelanggan yang ditugaskan untuk mengganggu peminjam sekiranya mereka gagal membuat bayaran seperti ditetapkan.
Ketua Polis Daerah Petaling Jaya, Asisten Komisioner Mohamad Fakhrudin Abdul Hamid berkata, satu laporan daripada seorang wanita berusia 32 tahun telah diterima yang mendakwa menerima gangguan dan notis ugutan daripada mereka.
Menurutnya, mangsa pada mulanya telah melihat tawaran iklan pinjaman wang dalam laman sosial Facebook pada 23 Jun lalu.
Kata beliau, mangsa kemudiannya menghubungi individu terbabit melalui WhatsApp dan panggilan telefon untuk bertanyakan mengenai pinjaman wang.
“Mangsa kemudian menyerahkan gambar kad pengenalan, penyata kewangan dan slip gaji.
“Dalam tempoh sejam, mangsa menyedari wang berjumlah RM8,000 dimasukkan ke dalam akaun banknya oleh suspek sebelum meminta dia membayar semula RM10,000 dalam tempoh tiga hari,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.
Mohamad Fakhrudin berkata, mangsa yang belum memberi keputusan untuk membuat pinjaman kemudiannya memulangkan semula wang itu ke dalam akaun bank yang diberikan suspek.
Beliau berkata, tindakan itu menyebabkan suspek tidak berpuas hati kerana wanita itu tidak memberikan RM2,000 seperti diarahkan.
Malah, katanya, suspek turut bertindak mengganggu dan menghantar notis ugutan ke rumah dan pejabat mangsa.
“Semakan dilakukan mendapati ketiga-tiga suspek berkenaan mempunyai rekod berkaitan kes ah long dengan kesemua kes sudah selesai dihadapkan ke mahkamah.
“Kesemua suspek akan direman selama empat hari untuk siasatan lanjut mengikut Seksyen 5(2) Akta Pemberi Pinjaman Wang Berlesen 1952,” jelasnya.
Dalam pada itu, kata beliau, orang ramai dinasihatkan supaya tidak mudah terpedaya dengan taktik licik ah long mempromosikan tawaran pinjaman yang dibuat oleh mereka.-UTUSAN ONLINE