PUTRAJAYA: Dua objek disyaki serpihan roket milik China yang ditemukan di Sarawak disahkan tiada kesan radiasi.
Menurut kenyataan Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi di sini hari ini, kedua-duanya itu turut menunjukkan hasil yang sama iaitu tiada sebarang penemuan kepada unsur radioaktif.
“Dua objek disyaki itu juga dikesan adalah selamat untuk dilaksanakan proses penyiasatan dan analisis yang selanjutnya pula,” katanya sebagai merujuk status keadaan serpihan tersebut.
Lewat tengah malam kelmarin, negara gempar apabila sisa roket Long March 5B dilihat terbang melintasi ruang udara Sarawak sebelum terjatuh di perairan Laut Sulu berdekatan Filipina.
Ia dipercayai antara sebahagian daripada modul kedua roket yang dilancarkan ke stesen angkasa China di orbit iaitu Tiangong dari tapak pelancarannya di Wenchang pada 30 Julai lepas.
Semalam, penduduk di Kampung Nyalau, Bintulu dan Kampung Sepupok Lama, Miri di negeri itu melaporkan penemuan serpihan roket berkenaan yang berukuran panjang 13 sentimeter.
Susulan itu, pihak berkuasa menggerakkan pasukan penyiasatan yang antaranya terdiri daripada Bahagian Penguasa Angkasa kementerian tersebut dan Agensi Angkasa Malaysia (Mysa).
Turut terlibat ialah empat pegawai dari Lembaga Pelesenan Tenaga Atom serta pasukan khas bahan kimia bahaya (Hazmat) Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia selain pihak polis.
“Siasatan awal itu bagi memastikan tiada sebarang elemen radiasi berbahaya yang mungkin dikeluarkan oleh objek disyaki sebelum penyiasatan seterusnya,” kata kenyataan berkenaan.
Justeru ujarnya, untuk langkah yang selanjutnya pula, pihak Mysa dengan kerjasama Jabatan Kimia Malaysia akan menjalankan lagi siasatan lebih terperinci ke atas dua objek tersebut.
Langkah berkenaan bagi menentusahkan sama ada objek itu ada kaitan dengan insiden sisa roket Long March 5B ketika proses kemasukan semula atau pun bukan serpihan langsung.
Hasil penyiasatan dan analisis itu nanti kata kenyataan tersebut, akan dimaklumkan dengan tindakan sewajarnya boleh dipertimbangkan selaras Akta Lembaga Angkasa Malaysia 2022.
Status penemuan objek berkenaan juga akan dinilai berdasarkan triti antarabangsa berkaitan isu itu di bawah urusan Pejabat Pertubuhan Bangsa Bersatu bagi Hal Ehwal Angkasa Lepas. – UTUSAN










