Tiada bukti kes doktor pelatih maut dibuli - Utusan Malaysia

Tiada bukti kes doktor pelatih maut dibuli

SITI Hamisah Tapsir menunjukkan buku Laporan Pasukan Petugas Khas bagi Penambaikan Budaya Kerja Perkhidmatan Kesihatan di KKM, Putrajaya., semalam - UTUSAN/FAISOL MUSTAFA
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PUTRAJAYA: Selepas genap empat bulan insiden seorang doktor pelatih maut terjatuh dari sebuah apartmen di Pulau Pinang, laporan terkini mengesahkan kes tiada unsur gejala buli.

Perkara tersebut didedahkan oleh Pengerusi Pasukan Petugas Khas bagi Penambahbaikan Budaya Kerja Perkhidmatan Kesihatan (HWCITF), Prof. Datuk Dr. Siti Hamisah Tapsir hari ini.

“Hasil analisis ke atas Laporan Pengesanan dan Pengesahan oleh Unit Integriti Kementerian Kesihatan, kami merumuskan tiada bukti kukuh dengan elemen buli di tempat kerja,” katanya.

Terdahulu, beliau yang mengetuai pasukan seramai lapan individu tersebut membentangkan rumusan laporan mengenai beban tekanan dialami kakitangan kementerian berkenaan, di sini.

HWCITF ditubuhkan Menteri Kesihatan, Khairy Jamaluddin pada 13 Mei lalu ekoran kes maut seorang pegawai perubatan siswazah (PPS) Hospital Pulau Pinang (HPP) pada 17 April lalu.

Misteri kematian doktor pelatih muda berusia 25 tahun itu menjadi topik panas pelbagai pihak dengan ramai menyalahkan budaya tidak sihat termasuk amalan buli dalam hospital kerajaan.

Bagaimanapun, pasukan khas itu tidak terlibat dalam penyiasatan kes seorang doktor di HPP ditemukan maut selepas meletak jawatan akhir 2020 lalu kerana laporan ditutup pihak polis.

Mengulas lanjut, Siti Hamisah berkata, mereka mengekalkan pandangan bahawa isu kematian PPS itu tidak ada kena mengena pun dengan unsur buli kecuali ada lagi maklumat baharu.

“Setakat ini, belum ada sebarang perkembangan tambahan yang berkaitan insiden tersebut daripada pihak polis sendiri menerusi penyiasatan mereka ke atas kes berkenaan,” tegas beliau. 

Pasukan tersebut, ujarnya, mendapati berlaku insiden ‘burnout’ atau keletihan teruk serta buli dan budaya kerja yang kurang sihat memang ada berlaku dalam kementerian itu selama ini.

Budaya negatif terutama buli itu bukan hanya terjadi dalam kalangan PPS, malah ia merentasi semua peringkat warga kerja kementerian sama ada secara langsung atau tidak langsung.

Ia tambah beliau, bagaimanapun berlaku pada tahap yang berbeza dan bukanlah di semua fasiliti kementerian itu disebabkan oleh pelbagai faktor penyumbang termasuk kurangnya kecekapan.

HWCITF kata Siti Hamisah, juga mendapati kadar pematuhan terhadap pelaksanaan sistem kerja PPS yang anjal dinyata dalam garis panduan ditetapkan adalah tidak menyeluruh di hospital.

Latihan diterima mereka itu turut didapati tidak begitu konsisten antara satu hospital dengan hospital yang lain di samping tekanan tugasan melibatkan tempoh waktu kerja panjang.

“Justeru, kami cadang agar pendekatan lebih berstruktur melalui pematuhan dan pemantapan standard serta garis panduan sedia ada selain sumber manusia yang dioptimumkan,” katanya.

Begitu juga, ujar beliau, keperluan penambahbaikan kemudahan prasarana untuk pesakit demi memastikan kesinambungan sistem penjagaan kesihatan awam yang terbaik disampaikan.

Beliau turut menegur mengenai kebanyakan urusan kerja masih dilakukan secara manual serta kekurangan pendigitalan mengakibatkan beban meningkat dan berlaku kelewatan rawatan.

Tidak ketinggalan proses pengurusan saluran aduan dalaman yang perlu ditambah baik selain memastikan elemen kerahsiaan bagi memberi keyakinan kepada pengadu tampil bersuara. –UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya