Tak mengaku tipu syarikat pinjaman wang RM5j - Utusan Malaysia

Tak mengaku tipu syarikat pinjaman wang RM5j

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Seorang bekas pengarah syarikat hartanah mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen di sini hari ini atas tiga pertuduhan termasuk tuduhan menipu sebuah syarikat pinjaman wang berlesen RM5 juta, lima tahun lalu.

Tertuduh, Teoh Soo Beng, 56, membuat pengakuan itu selepas pertuduhan dibaca di hadapan Hakim Kamarudin Kamsun hari ini. 

Mengikut pertuduhan pertama, dia didakwa menipu syarikat pinjaman wang berlesen untuk mendapatkan pinjaman RM5 juta dengan menandatangani perjanjian pinjaman wang dan penyerahan hak empat unit rumahnya bertarikh 25 Mei 2017. 

CAGAR

Empat unit rumah di di Jalan Seri Tanjung Pinang, Pulau Pinang dikatakan akan menjadi cagaran sepanjang tempoh pinjaman itu. 

Tertuduh didakwa mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara tidak kurang setahun dan tidak lebih 10 tahun serta sebat dan denda, jika sabit kesalahan.

Bagi pertuduhan kedua, Soo Beng didakwa telah melakukan pecah amanah dengan menjual rumah-rumah tersebut dan melanggar perjanjian pinjaman wang serta perjanjian penyerahan hak tersebut.

Bagi pertuduhan ini, dakwaan dikemukakan mengikut Seksyen 405 Kanun Keseksaan dan dihukum mengikut Seksyen 406 akta sama yang membawa hukuman penjara tidak melebihi lima tahun atau sebat atau kedua dua sekali, jika sabit kesalahan.

Kesemua perbuatan itu didakwa dilakukan di Jalan Selvadurai Off Jalan Sultan Azlan Shah di sini di antara Mei 2017 hingga September 2019. 

Soo Beng turut didakwa atas satu pertuduhan pilihan iaitu menyalahgunakan empat unit rumah yang telah dijadikan cagaran dengan syarikat itu.

Perbuatan itu didakwa dilakukan di antara Mei 2017 dan September 2019 di Persiaran Gurney, Pulau Pinang.

Pertuduhan dikemukakan mengikut Seksyen 403 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara tidak kurang enam bulan atau tidak melebihi lima tahun dan sebat serta boleh dikenakan denda, jika sabit kesalahan.

Timbalan Pendakwa Raya, Nurliyana Mohd. Jafri mencadangkan supaya tertuduh diberi ikat jamin RM1 juta dengan seorang penjamin bagi ketiga-tiga pertuduhan. 

Bagaimanapun, peguam bela tertuduh, S. Raveentharan merayu supaya anak guamnya diberi ikat jamin pada kadar lebih munasabah dengan alasan tertuduh menyara ibu bapanya, isteri dan anak-anak.

“Untuk pengetahuan mahkamah, anak guam saya telah diisytiharkan bankrap pada 25 September 2020 lalu,” katanya. 

Hakim Kamarudin kemudian membenarkan tertuduh diikat jamin RM50,000 dengan seorang penjamin bagi kesemua pertuduhan. Mahkamah menetapkan 21 September depan untuk sebutan semula kes.  – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN