‘Tak boleh sewenangnya musnah kolam di Gunung Inas’ - Sanusi -

‘Tak boleh sewenangnya musnah kolam di Gunung Inas’ – Sanusi

MUHAMMAD SANUSI MD. NOR
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

ALOR SETAR: Tiga kolam yang menjadi sumber air untuk tanaman durian Musang King di Gunung Inas, Baling tidak boleh dimusnahkan sewenang-wenangnya kerana ia dimiliki oleh pihak tertentu.

Menteri Besar, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md. Nor berkata, semua pihak terutama mereka yang bergelar pemimpin perlu membaca laporan Jawatankuasa Khas Kementerian Tenaga dan Sumber Asli (KetSA) yang menyatakan kolam itu bukan punca kejadian aliran puing serta banjir lumpur pada 4 Julai lalu.

“Kolam itu ada pemiliknya, jadi, tak bolehlah senang-senang nak musnahkan orang punya. Selain itu, perlu juga baca laporan Jawatankuasa Khas KetSA terdiri daripada ratusan pakar yang menyatakan kolam tersebut bukan punca kejadian banjir.

“Menurut pakar geologis, kalau tiga kolam itu pecah serentak pun tanpa ada hujan, air itu tidak akan sampai ke bawah gunung sebab tak cukup kapasiti. Air daripada kolam tersebut akan hilang di ‘jalan’ macam itu saja,” katanya.

Beliau yang juga Pengerusi Lembaga Pengarah Kedah Medical Centre (KMC) berkata demikian ketika hadir bagi merasmikan mesin Pengimejan Resonans Magnetik (MRI) dan mammografi digital di pusat perubatan swasta tersebut di sini, hari ini.

Ahli Parlimen Baling, Datuk Seri Abdul Azeez Abdul Rahim semalam memaklumkan tiga kolam takungan air bersaiz gelanggang futsal di puncak gunung tersebut akan dimusnahkan dalam tempoh terdekat kerana dikatakan boleh mendatangkan bahaya kepada penduduk setempat.

Menurut Abdul Azeez, beliau sudah merujuk masalah itu kepada Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob yang berjanji akan menyelesaikannya segera.

Mengulas lanjut, Muhammad Sanusi turut menasihati Abdul Azeez agar tidak terperangkap dengan sentimen dimainkan golongan tidak berilmu atau individu yang tidak membaca laporan dikeluarkan KetSa.

“Sebagai pemimpin, beliau perlu bersandarkan kepada pakar geologi,” katanya.  –UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN