KUALA LUMPUR: Langkah Presiden Pas, Tan Sri Abdul Hadi Awang menjalinkan kerjasama dengan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) dianggap strategi salah dan tidak menguntungkan parti itu.
Bercakap kepada Utusan Malaysia, bekas pemimpin Pas, Datuk Dr. Mohd. Khairuddin Aman Razali berkata, Bersatu adalah sebuah parti kecil dan sebenarnya hanya bergantung kepada kekuatan Pas.
“Strategi yang digunakan sekarang ini ialah meletakkan Bersatu sebagai tonggak untuk dibuat muafakat sedangkan yang sepatutnya dengan UMNO.
“Saya yakin sekiranya Presiden Pas mempertahan hubungan dengan UMNO, Bersatu pasti menurut kerana Bersatu parti kecil, dia bergantung kepada Pas.
“Tetapi itu pandangan saya. Barangkali saya silap, Presiden Pas betul. Tetapi saya rasa, saya betul,” katanya ketika ditemui baru-baru ini.
TEWAS
Pas yang kini mendukung gabungan Perikatan Nasional (PN) bersama Bersatu dan Gerakan buat pertama kali bertanding dalam PRN Melaka dan Johor, namun tewas.
Khairuddin yang juga Ahli Parlimen Kuala Nerus berkata, keputusan kedua-dua PRN itu menunjukkan strategi Pas tersasar.
Pada PRN Melaka, PN meletakkan calon di semua 28 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN), tetapi menang dua, iaitu DUN Sungai Udang dan Bemban.
Dalam PRN Johor pula, daripada 56 kerusi yang ditandingi PN, gabungan parti itu menang tiga kerusi iaitu di Bukit Kepong, Endau dan Maharani.
Bagaimanapun, jelas Khairuddin lagi, ia adalah hak Abdul Hadi sebagai Presiden Pas untuk menentukan dasar dan strategi parti, namun beliau tetap berpendirian yang Pas seharusnya bekerjasama dengan UMNO.
“Saya berbeza dengan Presiden Pas dalam bab strategi. Bagi saya, berlaku kesilapan di situ, tetapi itu hak Tok Guru sebagai Presiden, itu hak dia untuk menentukan, strategi ke mana,” tegasnya.
Mengulas lanjut, Khairuddin menjelaskan ramai antara pemimpin mahupun akar umbi Pas senada dengannya, namun tidak sampai ke peringkat bertindak keluar parti.
“Ada bersuara, tetapi di belakang sahaja, tidak ke hadapan. Yang ke hadapan adalah saya hingga membawa saya berhenti parti. Ada lagi lantang, saya tak nak sebut nama, tapi boleh melihat sendiri siapa yang bercakap dan ramai lagi bercakap.
“Tapi itu adakah normal dalam parti, mereka bercakap sebagai ahli parti secara dalaman dan bila buat keputusan, mereka akur dengan keputusan parti. Bila parti nak kepada Bersatu itu hak parti, saya tak setuju saya keluar dengan baik itu sahaja,” ujarnya. – UTUSAN










