Skandal LCS: Pihak terbabit perlu didakwa

Skandal LCS: Pihak terbabit perlu didakwa

ISU LSC mendapat perhatian Kabinet yang mengarahkan SPRM dan Pejabat Peguam Negara bertindak.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Kerajaan perlu mendakwa pihak yang terlibat dalam kepincangan projek pembinaan enam kapal tempur pesisir pantai (LCS) kerana ia membabitkan keselamatan dan kedaulatan negara.

Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) dalam kenyataannya menegaskan, pihak bertanggungjawab perlu menyia­sat ketirisan dalam projek ber­kenaan serta segera mendakwa mereka yang terbukti terbabit de­ngan penyelewengan itu.

Menurutnya, sebagai pengguna akhir, kelewatan pelaksa­naan projek LCS memberi kesan negatif bukan sahaja kepada keupayaan tempur armada TLDM, malahan moral warganya yang memerlukan kapal LCS ini untuk melaksanakan tanggungjawab mereka dengan berkesan.

“TLDM ingin menyatakan sokongan agar sebarang ketirisan dalam projek ini disiasat, seterusnya pihak-pihak yang terbukti terbabit dengan perkara ini dibawa ke muka pengadilan seberapa segera.

“Ini berikutan perolehan LCS itu merupakan kritikal bagi memelihara kedaulatan dan ke­selamatan negara,” kata kenya­taan itu.

Menurut TLDM, keupayaan tempur yang perlu dimiliki pasukan keselamatan itu mestilah sejajar dengan perkembangan landskap keselamatan geostrategik dan geopolitik serantau.

Justeru, katanya, TLDM mengalu-alukan syor yang dikemukakan Jawatankuasa Kira-Kira Wang Negara (PAC) dan mahukan hala tuju terbaik bagi projek pembinaan berkenaan.

“TLDM amat menghargai keputusan yang dibuat oleh kerajaan untuk meneruskan projek ini kerana ia merupakan keputusan yang tepat dan didorong oleh keprihatinan kerajaan untuk mengutamakan kepentingan kedaulatan negara.

“TLDM ingin menyatakan sokongan agar sebarang ketirisan dalam projek ini disiasat, seterusnya pihak-pihak yang terbukti terbabit dengan perkara ini dibawa ke muka pengadilan seberapa segera,” katanya.

TLDM dalam masa sama juga menyeru semua pihak agar berganding bahu dan memberikan sokongan terhadap kelancaran pelaksanaan projek tersebut demi memelihara kedaulatan dan keselamatan perairan negara.

Sementara itu, Bercakap kepada Mingguan Malaysia, bekas Timbalan Menteri Pertahanan, Liew Chin Tong berkata, ‘jerung’ besar’ yang terlibat dengan skandal penyelewe­ngan itu perlu didakwa kerana projek LCS melibatkan per­belanjaan yang besar.

Katanya, ini kerana pendedahan PAC menunjukkan pe­rolehan perundingan terus yang tidak sesuai kerana ia mudah dimanipulasikan, terutamanya bagi projek sebesar LCS.

“Kerajaan mesti juga sediakan jadual siap projek yang munasabah. Sekiranya kapal pertama hanya siap pada 2027, dan kapal terakhir siap pada 2035, mungkin kita perlu timbang semula.

“Teknologi kapal yang dicadangkan adalah teknologi dari zaman tahun 2000, kalau kapal hanya disiapkan pada tahun 2035, teknologinya mungkin sudah lapuk,” ujarnya.

Pengerusi Yayasan Keprihatinan Komuniti Malaysia (MCCF), Datuk Seri Halim Ishak berkata, satu tindakan perlu diambil susulan pendedahan laporan PAC itu, dan bukannya retorik semata-mata.

Katanya, berdasarkan laporan tersebut jelas membuktikan ada penyelewengan dan ketirisan daripada peringkat atasan sehingga pelaksanaan.

“Dalam masa tujuh hari mesti ada tindakan, kalau tidak ia cuma dimainkan dan retorik saja. Kita mahu tengok mana tindakan dan kita harap ia tidak dipolitikkan oleh pihak politik tertentu.

“Kita mahu tindakan diambil waima terhadap mereka yang terlibat termasuk ke peringkat tertinggi ketika itu, jerung-jerung besar mesti di­bersihkan, ini bukan perkara kecil,” katanya.

Dalam pada itu, keputusan hasil siasatan berhubung skandal (LCS) akan diumumkan dalam masa terdekat setelah perbincangan lanjut Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) bersama Jabatan Peguam Negara selesai.

Menegaskan perkara itu, Ketua Pesuruhjaya SPRM, Tan Sri Azam Baki berkata, siasatan SPRM sudah di peringkat akhir selepas siasatan dijalankan sejak beberapa tahun lalu.

Ujarnya, bagaimanapun be­liau tidak dapat memaklumkan di peringkat mana dan apa keputusan mengenai siasatan itu.

“Buat masa ini pihak saya masih lagi reserve (tidak mahu) untuk memberi apa-apa kenya­taan dan saya akan maklum kemudian apabila bersedia membuat pengumuman,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN