Skandal LCS perlu pendakwaan, bukan RCI - Utusan Malaysia

Skandal LCS perlu pendakwaan, bukan RCI

HASSAN KARIM
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PASIR GUDANG: Tiada keperluan bagi kerajaan menubuhkan Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) untuk menyiasat skandal projek Kapal Tempur Pesisir Pantai (LCS), sebaliknya pihak yang bertanggungjawab harus didakwa dengan segera.

Ahli Parlimen Pasir Gudang, Hassan Abdul Karim berkata, penubuhan RCI  hanya membuang masa kerana suruhanjaya itu tiada kuasa,.

Selain itu, menurut beliau, audit berkenaan projek LCS itu juga telah dibentangkan di Parlimen dan disemak oleh Jawatankuasa Kira-Kira Wang Negara (PAC). 

“Kesemua perkara itu sudah boleh dimajukan untuk dijadikan asas pendakwaan dalam kes tersebut. PAC telah membuat siasatan susulan laporan audit negara berkenaan isu LCS dan menemui pelbagai kesalahan bersifat salah guna kuasa, rasuah, pecah amanah dan pelbagai kelemahan serta kecuaian pengurusan wang yang diperoleh kerajaan. 

“Bukan enam ringgit tetapi enam bilion ringgit. Dalam masa sama Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) juga telah membuat siasatan. Namun apa yang perlu adalah untuk meneruskan siasatan ke atas ‘fresh evidence’,” katanya dalam satu kenyataan, di sini hari ini.

Khamis lalu, PAC dalam laporannya menyatakan, kerajaan sudah membayar RM6.083 bilion untuk projek LCS kepada Boustead Naval Shipyard Sdn. Bhd. (BNS), yang dilaksanakan secara runding terus, namun tiada kapal yang diterima setakat ini.

Pengerusi PAC, Wong Kah Woh, mendedahkan lebihan kos projek LCS berjumlah RM1.4 bilion, dengan RM400 juta telah digunakan untuk membayar hutang lama daripada projek kapal peronda lama.

Hassan yang merupakan Ahli Jawatankuasa Khas Mengenai Rasuah (JKMR) SPRM turut memberitahu, RCI tiada ‘taring’ dan tiada kuasa untuk menyiasat secara menyeluruh seperti SPRM dan jika suruhanjaya itu tidak diberikan kepercayaan penuh menyiasat kes tersebut, ia hanya akan membuang masa dan wang kerajaan.

“Kalau bidang kuasa SPRM tak cukup, boleh libatkan agensi siasatan lain seperti polis. Tak perlu RCI menyibuk lagi. Apa yang penting SPRM buat siasatan yang meluas dan mendalam serta teliti untuk membina kes yang kuat.

“Kemudian serah kertas siasatan yang lengkap kepada pendakwa raya untuk diteliti dengan cermat. SPRM dan Jabatan Pendakwa Raya boleh mengambil pengalaman daripada kes pendakwaan SRC International dan kes 1Malaysia Development Berhad (IMDB) untuk membina kes pendakwaan yang kukuh dalam isu LCS,” ujarnya.- UTUSAN

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya