KUALA LUMPUR: Kapal tempur pesisir pantai (LCS) dijangka melalui ujian di pelabuhan (HAT) dan ujian di laut (SAT) pada November ini.
Menteri Pertahanan, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin berkata, ujian itu akan dilaksanakan selama dua tahun sebelum kapal berkenaan ditauliahkan.
“Mengikut perancangan pada November, kemajuan kapal ini 85 peratus, maka akan melalui ujian.
“Walaupun kapal sudah siap 85 peratus, tetapi tidak lengkap kerana belum melalui ujian kerana ia sebahagian daripada empat elemen dalam pembinaan kapal.
“Apabila semua ini sudah dicapai dan dilakukan, maka kita jangka kapal pertama LCS ditauliahkan pada 2026,” katanya.
Terdahulu, Mohamed Khaled dalam sesi penggulungan Usul Titah Diraja Kementerian Pertahanan berkata, kapal LCS2 dan LCS3 akan menyiapkan kerja pembinaan dengan jangkaan peratusan kemajuan masing-masing sebanyak 78.17 peratus dan 61.48 peratus.
Menurutnya, kemajuan kerja bagi LCS4 dan LCS5 pula masing-masing dijadualkan sebanyak 53.40 peratus dan 44.11 peratus yang disumbangkan daripada elemen equipment dan modul block yang telah dibina.
Dalam perkembangan lain, Mohamed Khaled memberitahu, Program Latihan Khidmat Negara (PLKN) 3.0 mungkin tidak melibatkan pelajar sekolah.
Jelas beliau, kementeriannya masih mempertimbangkan untuk menyesuaikan program latihan itu mengikut umur.
“Ia mungkin tidak melibatkan pelajar sekolah, mungkin selepas sekolah dan yang nak masuk universiti. Itu semua kita sedang pertimbang.
“Kita ambil maklum kebimbangan itu untuk menyesuaikan ikut umur. Kita belum muktamad,” katanya dalam sidang akhbar di Parlimen.
Terdahulu, beliau memberitahu, PLKN 3.0 tidak mungkin diadakan pada tahun ini.
Katanya, ini kerana pihaknya masih berunding mengenai komponen latihan kenegaraan bersama Kementerian Pendidikan Tinggi,” jelasnya. – UTUSAN










