PETALING JAYA: Sindiket penipuan yang beroperasi di negara ini dipercayai memperoleh nombor mangsa menggunakan alat panggilan suara (VoIP) yang dijual serendah RM1,000.
Bercakap kepada Utusan Malaysia, sumber memberitahu, alat itu yang boleh dibeli dalam talian seperti Alibaba mampu memintas nombor telefon dengan menyambung panggilan dibuat scammer kepada mana-mana nombor-nombor mangsa.
Menurut sumber, jika ada nombor mangsa dapat dihubungkan, operator yang diupah sindiket mula menyamar mengikut kesesuaian mangsa.
“Mereka menyamar sebagai pegawai Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN), pegawai bank dan sebagainya. Mereka akan mengupah lebih empat operator dalam satu masa, ada yang sehingga 15-20 operator bergantung kepada sindiket.
“Walaupun berjaya dikesan polis, sindiket akan tetap bertambah kerana dalangnya di tempat lain. Selain itu, VoIP mudah didapati di pasaran.
Hanya beli melalui atas talian terutama dari China seperti Alibaba yang dijual dengan harga serendah RM1,000 hingga RM7,000 mengikut jenis,” katanya ketika dihubungi di sini, semalam.
Sumber berkata, sindiket terbabit beroperasi di kawasan pusat bandar yang mempunyai liputan internet berkelajuan tinggi.
“Itu sebabnya pihak berkuasa mendapati kebanyakan sindiket beroperasi di Lembah Klang, Johor Bahru, Pulau Pinang dan negeri yang mempunyai liputan internet kuat seperti di kediaman dengan kawalan keselamatan yang ketat antaranya kondominium dan banglo.
“‘Mereka tidak bergerak di kampung-kampung atau kawasan pendalaman,” ujarnya.
Menurut sumber berkenaan, siasatan mendapati sindiket penipuan siber yang beroperasi di negara ini didalangi taikun warga China, Hong Kong dan Taiwan.
Kata sumber, terdapat tindakan pemprofil dilakukan Polis Diraja Malaysia (PDRM) namun menghadapi kesukaran mengesan dalang utama kerana siasatan dijalankan pihak berkuasa di negara-negara terbabit.
Jelas sumber, sindiket memilih beroperasi di Asia Tenggara termasuk Malaysia, Vietnam, Laos dan Myanmar sebagai pusat panggilan bagi mengelak dikesan pihak berkuasa di sana.
“Contohnya di China, hukuman sana berat jika ditahan. Malah dalang kebanyakannya berasal dari China, Hong Kong dan Taiwan. Jadi mereka tidak mahu kegiatan mereka terbongkar jika semuanya beroperasi di sana.
“Sindiket memilih menjadikan negara-negara di Asia Tenggara termasuk Malaysia sebagai hab bagi menipu mangsa dari pelbagai pelusuk dunia malah rakyat negara ini juga turut diperdaya,” katanya.
Tambahnya, sindiket menawarkan gaji yang tinggi sehingga mencecah RM4,000 hingga RM6,000 sebulan bagi menarik minat terutama anak muda bagi bekerja sebagai operator.
“Rangkaian ini besar, semua yang ditahan di sini hanya ‘ikan bilis’ dan pengurus pusat panggilan. Dalangnya berada di luar negara seperti China, Hong Kong dan Taiwan,” ujarnya.
Menurut sumber, keadaan itu juga menyebabkan pihak berkuasa menghadapi kesukaran untuk mengesan wang hasil penipuan tersebut.
“Sindiket menggunakan akaun mule dan mangsa memasukkan wang ke dalam akaun tersebut.
“Wang tersebut dipindahkan ke akaun ketiga kemudian wang tersebut tidak dapat dikesan dipercayai mungkin dipindahkan ke akaun luar negara.
“Itu selalunya hanya pemilik akaun mule yang dapat kesan dan diberkas selain operator,” katanya. – UTUSAN










