PETALING JAYA: “Bukan mudah hidup sebagai seorang muflis, ia seperti antara hidup atau mati. Seksa hanya kita yang tanggung”.
Demikian cerita seorang wanita yang ingin dikenali sebagai Nurul, 40-an, mengenai kisah hidupnya melalui status sebagai seorang muflis sejak 2019.
Bercakap kepada Utusan Malaysia, Nurul memberitahu, ketika menerima surat bank untuk hadirkan diri ke mahkamah, dia diduga anak yang sakit dan terpaksa dirawat di hospital.
“Saya tak dapat menghadirkan diri ke mahkamah kerana mempunyai janji temu hospital untuk anak saya yang sedang sakit. Jadi saya pilih anak sebab pada saya duit boleh cari tetapi anak tiada ganti,” katanya di sini.
Ketika itu Nurul akur menerima takdir hidupnya dan tidak pernah menyesali untuk tidak hadir ke sidang mahkamah.
Menurut Nurul, dia diisytiharkan muflis pada 2019 selepas percubaannya untuk menukar karier dalam bidang lain gagal sehingga menyebabkan dibelenggu dengan hutang.
“Pada 2017 saya ada mengambil cuti tanpa gaji selama setahun dan bercadang untuk berhenti kerja. Saya meneruskan karier di salah satu syarikat penapis air tapi nasib tak menyebelahi apabila tidak mencapai sasaran bulanan hingga tidak membayar bulanan pinjaman-pinjaman peribadi.
“Pada awal 2019, saya menerima surat bank untuk hadirkan diri ke mahkamah tapi dalam masa sama tidak boleh kerana anak saya sakit. Jadi saya diberitahu oleh pihak bank sekiranya saya tak hadir saya boleh dibankrapkan, saya pilih itu,” katanya.
Terdahulu akhbar ini melaporkan, seramai 17,599 individu diisytiharkan bankrap sepanjang tempoh 2020 hingga Mei tahun ini dan daripada jumlah itu seramai 4,164 orang yang dicatatkan muflis datanya daripada Selangor dan dikuti dengan Wilayah Persekutuan iaitu sebanyak 2,203 orang.
Nurul mengakui pada mula dirinya tidak boleh menerima apabila diisytiharkan muflis, namun cuba melihat dari sudut lain dan berkat sokongan keluarga dia tidak lagi rasa tertekan serta mula menerima ketentuan tersebut.
“Pada mulanya agak tertekan dan sedih, lama-lama saya bersyukur sebab bebanan dari RM3,000 sebulan, kini hanya RM300 sebulan untuk bayar insolvensi. Duit gaji lain saya dapat selesaikan satu demi satu hutang dengan rakan-rakan lain. Nikmat Allah mana yang hendak kita dustakan?
“Suami, ibu bapa dan adik-beradik sentiasa memberi sokongan pada saya, beri semangat. Rezeki Allah punya, semua milik-Nya. Kita boleh minta apa sahaja dengan Allah, itu prinsip yang saya pegang,” katanya.
Tambahnya, walaupun menghadapi cabaran untuk tidak dibenarkan untuk membeli rumah mahupun kereta, dia berharap individu yang senasibnya untuk tidak berputus asa dalam kehidupan.
“Saya sebagai sahabat ingin menasihati masyarakat yang bergelar muflis. Jangan putus asa, terus berdoa dan dekatkan diri pada Allah, solat tahajud selalu,” jelasnya.
Seorang lelaki yang dalam proses diisytihar muflis yang mahu dikenali sebagai Hadif, 35, berkata, selain dari masalah kewangan, dirinya turut merasakan diri ‘dizalimi’ oleh pihak pemiutang.
“Ini disebabkan pinjaman perumahan yang saya lakukan pada 2018, bayaran pun tidak pernah ada masalah sehingga berlakunya penularan wabak Covid-19. Hingga ke tahun lepas, saya tak mampu nak buat bayaran bulanan kerana komitmen terlalu tinggi, pendapatan saya dari RM60,000 sebulan sekarang menyusut ke bawah RM5,000.
“Oleh kerana itu, sekarang saya buat hingga tiga empat kerja antaranya sebagai pemandu e-hailing, tetapi pendapatan bekerja sebagai pemandu tidak terlalu stabil.
Malah, kadang-kadang bila saya baru nak stabil, datang pula pemiutang yang nak saman, kutip hutang, sita harta dan sebagainya,” katanya. – UTUSAN










