PETALING JAYA: Bekas Menteri Pertahanan, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi menegaskan beliau tidak terlibat secara langsung penukaran reka bentuk kapal tempur pesisir (PCS) yang didakwa tidak dipersetujui oleh Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM).
Beliau berkata, cadangan menukar reka bentuk kapal adalah tanggungjawab syarikat Boustead Naval Shipyard Sdn. Bhd. (BNS) dan France’s Naval Group.
Katanya, ini kerana menteri dan pihak pengurusan atasan kementerian tidak mempunyai latar belakang belakang seni bina berkaitan tentera laut.
“Jika Panglima Tentera Laut mengatakan ini keputusan menteri, saya menyanggah kerana menteri tiada latar belakang seni bina dalam naval.
“Tiada campur tangan daripada menteri dalam penentuan reka bentuk kerana ia semata-mata bergantung pada bidang kuasa kontraktor yang terlibat.
“Kita (kerajaan) bersetuju mengikut cadangan itu kerana pengguna akhir tahu apakah reka bentuk yang perlu untuk perairan Malaysia iaitu SIGMA atau GOWIND,” katanya memetik laporan prosiding Jawatankuasa Kira-Kira Wang Negara (PAC) bertarikh 25 Oktober 2021 setebal 247 muka surat itu.
Sebelum itu, TLDM semasa memberi keterangan di hadapan PAC pada 1 Disember 2020 memberitahu, tidak bersetuju dengan cadangan menukar reka bentuk LCS, namun terpaksa menerimanya kerana keputusan telah dibuat oleh menteri dan kementerian pertahanan setelah menerima cadangan daripada BNS.
Kelmarin, Ahmad Zahid dilaporkan berkata, tidak wajar menuding kegagalan perolehan LCS kepadanya kerana mendakwa beliau bukan Menteri Pertahanan ketika projek itu diberikan.
Bagaimanapun, bekas Timbalan Menteri Pertahanan semasa pentadbiran Pakatan Harapan (PH), Liew Chin Tong mengingatkan supaya tidak cuba ‘lari’ daripada tanggungjawab kerana Ahmad Zahid yang meluluskan projek (reka bentuk) LCS pada 2011 semasa menyandang jawatan Menteri Pertahanan.
Mengulas lanjut, Ahmad Zahid berkata, keputusan perubahan reka bentuk tidak dibuat sewenang-wenangnya tanpa syor daripada pasukan arkitek LCS, kerana bidang kuasa terletak pada kontraktor berkenaan.
“Kedua-dua syarikat telah menjelaskan kelebihan reka bentuk GOWIND adalah reka bentuk yang terbaik dalam memenuhi keperluan dan penggunaan kapal-kapal LCS di Malaysia,” katanya. – UTUSAN










