KANGAR : “Saya tidak boleh komen, saya berada di Perlis.”
Demikian kata Ketua UMNO Bahagian Ketereh, Tan Sri Annuar Musa ketika diminta mengulas mengenai majoriti Ketua UMNO Bahagian yang menyampaikan hasrat supaya Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15) diadakan secepat mungkin dalam perjumpaan tergempar parti itu hari ini.
Terdahulu, Ketua UMNO Bahagian Sungai Besar, Datuk Seri Jamal Md. Yunos dilaporkan berkata, hasrat tersebut disampaikan 158 Ketua Bahagian yang hadir kepada pucuk pimpinan untuk memutuskannya.
Kata Annuar, beliau tidak boleh mengulas perkara tersebut hanya berdasarkan kenyataan Jamal yang hanya merupakan salah seorang ketua bahagian yang hadir di perjumpaan tersebut.
“Sebenarnya, tidak ada mesyuarat, saya diberitahu malam tadi ada panggil-panggil sahaja (perjumpaan), bukan mesyuarat.
“Kita tidak ada istilah mesyuarat ketua-ketua bahagian, saya juga ketua bahagian. Kalau mesyuarat ada cara dia, ada notis, kena panggil semua. Saya difahamkan ada dipanggil, saya tidak boleh komen, saya ada di Perlis,” katanya ketika ditemui pada Majlis Penyampaian Watikah Pelantikan Pengerusi Pusat Ekonomi Digital Keluarga Malaysia (PEDi) di salah sebuah hotel di Kuala Perlis di sini hari ini.
Hadir sama, Menteri Wilayah Persekutuan merangkap Ketua UMNO Bahagian Arau, Datuk Seri Shahidan Kassim dan Timbalan Menteri Komunikasi dan Multimedia yang juga Ketua UMNO Bahagian Padang Besar, Datuk Zahidi Zainul Abidin.
Terdahulu, satu perjumpaan tergempar khas antara Presiden UMNO, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi dan ketua-ketua bahagian, yang disifatkan penting dan mustahak.
Jemputan yang dikeluarkan Setiausaha Agung UMNO, Datuk Seri Ahmad Maslan menyebut Presiden UMNO dan Timbalannya, Datuk Seri Mohamad Hasan meminta agar Ketua-Ketua UMNO Bahagian hadir ke satu pertemuan khas.
Jamal turut berkata, kesemua Top 5 hadir pada mesyuarat itu kecuali Perdana Menteri yang juga Naib Presiden UMNO, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob dan seorang lagi Naib Presiden parti itu, Datuk Seri Mahdzir Khalid.
Sementara itu, Annuar berkata, pada masa ini, tumpukan bekerja, rapatkan saf dan jaga parti supaya digemari oleh rakyat.
“Jangan kita syok sendiri, hari-hari bergaduh sesama sendiri, keluar statement berdasarkan provokasi media tanpa memikirkan kesan kepada parti kita. Jaga tingkah laku kita, jangan buat benda salah sebabkan rakyat benci kepada kita,” katanya. –UTUSAN ONLINE