'Saya diugut Tun M bubar UMNO' - Utusan Malaysia

‘Saya diugut Tun M bubar UMNO’

AHMAD Zahid Hamidi hadir di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur bagi perbicaraan kes pecah amanah, rasuah dan pengubahan wang haram dana Yayasan Akalbudi. UTUSAN/MOHD. FIRDAUS MOHD. JOHARI.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi memberitahu Mahkamah Tinggi di sini hari ini beliau pernah `diugut’ oleh Tun Dr. Mahathir Mohamad agar membubarkan UMNO dan menyertai Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu).

Presiden UMNO berkata, dalam pertemuan bersama bekas Perdana Menteri, beliau diminta meninggalkan parti itu bagi mengelakkan sesuatu berlaku kepadanya.

Sehubungan itu, bekas Timbalan Perdana Menteri yakin bahawa pertuduhan jenayah yang dikenakan terhadapnya adalah berpunca daripada keengganan beliau membubarkan UMNO dan melompat parti.

“Jika saya tidak bubarkan UMNO, sesuatu akan dilakukan terhadap saya, sudah tentu pertuduhan dibuat adalah berdasarkan ugutan itu,” ujar Ahmad Zahid.

Menurut beliau, selain itu Dr. Mahathir pernah membuat pengakuan yang kemudian disiarkan dalam beberapa media bahawa beliau pernah memintanya membubarkan UMNO dan melompat parti.

Ketika ditanya pada sesi pemeriksaan semula oleh peguam Datuk Ahmad Zaidi Zainal, tertuduh menjelaskan, ugutan Dr. Mahathir tidak spesifik mengenai perkara berkaitan Yayasan Akalbudi.

Sebaliknya kata beliau, perkara itu berhubung jawatan yang dipegangnya dalam parti iaitu apabila menjalankan tugas sebagai Presiden UMNO.

Ahmad Zahid sedang membela diri terhadap 47 pertuduhan, 12 daripadanya membabitkan pecah amanah, lapan rasuah dan 27 pengubahan wang haram melibatkan puluhan juta ringgit dana milik Yayasan Akalbudi.

Dalam keterangannya, Ahmad Zahid turut menyentuh sumbangan RM10 juta daripada seorang ahli perniagaan dari Sarawak yang dibuat menerusi Wong Sang Woo @ Wong Shuh Chain yang juga Pengarah Chia Bee Enterprise Sdn. Bhd. yang dikenali sebagai Paul.

Menurut Presiden UMNO, beliau yakin bahawa wang yang diterimanya itu adalah daripada sumber yang sah kerana sebagai seorang Islam, beliau tidak akan sesekali mengambil sumbangan daripada sumber haram.

“Saya sebagai orang Islam, kalau saya mengetahui sumbernya haram maka pasti saya menolak sumbangan sedemikian, itu pegangan saya,” katanya.

Ujar beliau, penderma itu juga daripada Sarawak manakala Paul adalah rakan kongsinya dan oleh kerana penderma tidak berada di negara ini, beliau meminta Paul menyerahkan sumbangan itu melalui cek.

Perbicaraan yang didengar di hadapan Hakim Datuk Collin Lawrence Sequerah bersambung esok.

Ahmad Zahid didakwa menggunakan dana Yayasan Akalbudi untuk membuat enam pembayaran bagi kad kredit persendirian, polisi insurans serta lesen kenderaan persendirian, kiriman wang kepada sebuah firma guaman dan sumbangan kepada persatuan bola sepak Polis Diraja Malaysia (PDRM).

Kesalahan mengikut Seksyen 409 Kanun Keseksaan itu didakwa dilakukan antara 13 Januari 2014 dan 11 Januari 2016.

Bagi lapan pertuduhan rasuah, Ahmad Zahid dituduh menerima suapan daripada tiga syarikat iaitu Mastoro Kenny IT Consultant & Services, Data Sonic Group Berhad dan Profound Radiance Sdn. Bhd.

Suapan itu sebagai dorongan kepadanya atas kapasiti selaku Menteri Dalam Negeri pada ketika itu untuk membantu syarikat terbabit mendapatkan projek MyEG, membekalkan cip pasport serta menyediakan perkhidmatan pusat sehenti di Pakistan dan Nepal.

Pertuduhan dikemukakan di bawah Seksyen 16(a) Akta SPRM 2009 yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga 20 tahun dan denda tidak kurang daripada lima kali nilai suapan atau RM10,000 mana lebih tinggi, jika disabitkan kesalahan.

Ahmad Zahid juga berdepan 27 pertuduhan pengubahan wang haram dengan melibatkan diri dalam transaksi secara langsung membabitkan pendapatan daripada aktiviti haram antara 2016 dan 2018.

Beliau didakwa mengikut Seksyen 4(1)(a) Akta Pencegahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil Daripada Aktiviti Haram 2001 yang boleh dipenjarakan sehingga 15 tahun dan denda tidak kurang daripada lima kali ganda jumlah atau nilai hasil aktiviti haram atau RM5 juta, mana lebih tinggi jika sabit kesalahan. –UTUSAN ONLINE

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN