PETALING JAYA: Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) sedang memperincikan kertas siasatan membabitkan bekas Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Astro Malaysia Holdings Bhd, Datuk Rohana Rozhan.
Sumber memberitahu Utusan Malaysia, usaha mendapatkan semula aset-aset bernilai AS$10 juta yang dikaitkan dengan dana 1Malaysia Development Berhad (1MDB) masih giat dilakukan.
Katanya, setakat ini kesemua aset yang dikaitkan dengan dana berkenaan masih belum dipulangkan oleh pihak Rohana.
“Kertas siasatan berkenaan dalam proses untuk diperincikan dan SPRM sedang proses mendapatkan aset-aset tersebut,” kata sumber berkenaan.
Utusan Malaysia sebelum ini melaporkan, Rohana yang dikaitkan mempunyai hubungan dengan Tim Leissner secara prinsipnya bersetuju menyerahkan AS$10 juta yang diberikan oleh bekas pegawai bank Goldman Sachs Group Inc. itu.
Media sebelum ini melaporkan, AS$10 juta yang diberikan oleh Leissner digunakan membeli sebuah rumah di Montpelier Street, London.
Kesemua harta termasuk rumah dan akaun bank berkenaan sebelum ini dibekukan susulan perbicaraan kes berkenaan di Amerika Syarikat (AS).
SPRM turut mengambil keterangan Rohana, Februari lalu susulan pendedahan Leissner dalam perbicaraan kes bekas pegawai bank Goldman Sachs, Roger Ng berkaitan 1MDB di AS.
Laporan itu mendedahkan, siasatan dilakukan SPRM mengikut Seksyen 4(1) Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram dan Pembiayaan Keganasan (AMLA) 2001.
Terdahulu, perbicaraan kes 1MDB di AS bertukar sensasi selepas Leissner memberi keterangan yang beliau mempunyai hubungan dengan Rohana.
Memetik laporan Bloomberg, ketika ditanya pendakwa, Drew Rolle mengenai hubungan itu, Leissner memetik beberapa nama termasuk Rohana dan menjelaskan hubungan itu berlanjutan sejak 2003 hingga 2013.
Leissner turut ditanya sama ada dia pernah memberikan sejumlah wang diterima daripadanya semasa bekerja dengan 1MDB dan dia mengaku, malah membelikannya rumah tersebut pada 2013.
Leissner mengaku bersalah pada 2018 kerana terlibat dalam pelanggaran undang-undang antirasuah AS dan konspirasi pengubahan wang.
Pertuduhan terhadapnya turut merangkumi penjualan bon berkaitan 1MDB bernilai kira-kira AS$6.5 bilion yang diuruskan dengan bantuan Goldman Sachs pada 2012 dan 2013.
Pendakwa raya berkata, AS$4.5 bilion daripadanya digelapkan pegawai, pegawai bank dan rakan sekutu mereka, dalam salah satu skandal terbesar dalam sejarah Wall Street.
Goldman Sachs pada 2020, bersetuju membayar denda AS$3 bilion dan anak syarikatnya di Malaysia mengaku bersalah di mahkamah AS.
Leissner ialah saksi utama pendakwaan bagi perbicaraan bekas rakan sekerjanya Roger Ng yang turut didapati bersalah. – UTUSAN










