Remaja 14 tahun culik bayi kerana comel, dakwa anaknya - Utusan Malaysia

Remaja 14 tahun culik bayi kerana comel, dakwa anaknya

TAN CHENG SAN (dua dari kiri) menunjukkan gambar suspek utama kejadian penculikan seorang bayi berusia sembilan bulan dalam sidang akhbar di IPD SPT, Bukit Mertajam, Pulau Pinang hari ini.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

BUKIT MERTAJAM: Lima individu termasuk seorang remaja perempuan berusia 14 tahun direman bagi siasatan berhubung kes culik bayi  berusia sembilan bulan di sebuah pangsapuri di Bukit Tengah di sini kelmarin.

Ketua Polis Daerah Seberang Perai Tengah, Asisten Komisioner Tan Cheng San berkata, tiga suspek termasuk  dalang  utama kes tersebut iaitu  remaja perempuan ditahan dalam serbuan pertama di sebuah pondok di Machang Bubok, di sini pada  pukul 11.50 malam pada hari kejadian.

Menurut beliau, dua lagi suspek iaitu ibu dan bapa tiri kepada teman lelaki remaja terbabit pula ditahan di sebuah rumah di Kulim, Kedah bersama bayi berkenaan beberapa jam selepas itu.

Cheng San berkata, siasatan awal, suspek-suspek dikatakan melarikan  bayi perempuan itu kerana tertarik dengan kecomelan bayi berkenaan selain remaja itu mendakwa mangsa adalah anaknya dengan teman lelakinya sebelum ini.

“Semasa kejadian, bayi berkenaan dijaga nenek remaja perempuan terbabit di sebuah pangsapuri di Bukit Tengah.

“Menerusi rakaman kamera litar tertutup (CCTV) polis melihat suspek terbabit mendukung mangsa dengan berjalan kaki sebelum menunggang sebuah motosikal tanpa memakai topi keledar,” katanya dalam sidang akhbar di ibu pejabat polis daerah (IPD) Seberang Perai Tengah, di sini.

Laporan polis

Berikutan itu, kata Cheng San, pengasuh kepada bayi itu menghubungi ibu mangsa yang berusia 24 tahun sebelum satu laporan polis dibuat oleh bapa bayi berkenaan.

“Selain teman lelaki remaja perempuan itu  yang berusia 18 tahun, turut terbabit ialah  ibu bapa kepada kekasih remaja perempuan itu yang masing-masing berusia 43 dan 30 tahun. Seorang lagi suspek ialah rakan kepada teman lelaki remaja perempuan itu,” kata beliau.

Dalam pada itu, Cheng San berkata, siasatan lanjut mendapati, keluarga remaja perempuan terbabit telah bercerai dan suspek  dikatakan tidak tinggal secara tetap bersama neneknya yang berusia 65 tahun itu. 

“Mangsa (bayi) pula telah dijaga oleh nenek remaja perempuan itu  sejak lapan bulan lalu dengan bayaran RM500 sebulan dan merupakan anak tunggal kepada pengadu,” katanya.

Cheng San berkata,  kesemua suspek tidak memiliki rekod jenayah  selain tidak berada dalam pengaruh dadah ketika ditahan.

Tambah Cheng San, ketika ini, pihaknya masih menyiasat sama ada terdapat motif lain penculikan tersebut termasuk untuk dijual kepada sindiket.- UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya