Rakyat perlu faham isu LCS elak jadi bahan politik seperti 1MDB - Utusan Malaysia

Rakyat perlu faham isu LCS elak jadi bahan politik seperti 1MDB

MAHDZIR Khalid (dua kiri) menyampaikan sijil lantikan kepada Mawar Karim mewakili Fareeda Group sebagai rakan kerjasama ketika merasmikan Pusat Daya Maju Kemas di Pejabat Kemas Padang Terap, Kuala Nerang hari ini. - UTUSAN/ SHAHIR NOORDIN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PADANG TERAP: Isu berkaitan kapal tempur pesisir (LCS) yang tidak lagi diklasifikasikan sebagai rahsia perlu dilaporkan secara terbuka untuk mengelak dijadikan bahan politik.

Naib Presiden UMNO, Datuk Seri Mahdzir Khalid berkata, rakyat perlu memahami isu sebenar tentang LCS agar ia tidak terjadi seperti 1Malaysia Development Berhad (1MDB) pada Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14).

“Sebab itu Perdana Menteri ada sebut bahawa ada keterbukaan dalam siri laporan yang nak dilaporkan, jadi mana (perkara) yang boleh diklasifikasi sebagai bukan lagi rahsia bagilah rakyat tahu apa-apa yang sepatutnya,” kata beliau selepas Majlis Pelancaran Pusat Daya Maju Jabatan Kemajuan Masyarakat (Kemas) di Pejabat Kemas Padang Terap di Kuala Nerang hari ini.

Semalam, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, isu LCS jika tidak dikendalikan dengan betul akan mirip isu 1MDB yang digunakan pembangkang sehingga menyebabkan Barisan Nasional (BN) kalah.

Dalam perkembangan lain, UMNO percaya BN Kedah mempunyai keyakinan tinggi untuk menang dan merampas semula negeri Kedah dalam PRU15.

Hasrat

Mahdzir yang juga Ketua UMNO Bahagian Padang Terap berkata, hasrat itu boleh dicapai berdasarkan laporan yang diterima membabitkan sokongan rakyat kepada UMNO dan BN ketika ini.

Beliau bagaimanapun tidak mahu mengulas lanjut mengenai kerjasama dengan Pas melalui Muafakat Nasional (MN) di negeri itu.

“Kita mempunyai keyakinan yang tinggi bila berada dalam pilihan raya, jadi saya fikir bahawa laporan, aktiviti dan juga melihat pada suasana, saya yakin kita boleh dapat yang kita cita-citakan.

“Tak payah komen kot (berhubung kerjasama dengan Pas di Kedah,” katanya.

Sementara itu, Mahdzir brkata, urusan berkaitan pembubaran parlimen dan penetapan tarikh PRU15 adalah kuasa dan hak prerogatif Perdana Menteri.

Terdahulu, Menteri Besar, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md. Nor menyatakan parti itu berupaya menang di sekurang-kurangnya 22 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Kedah dalam PRU15.

Menurut Sanusi, keyakinan itu dizahirkan berdasarkan asas bahawa Pas mendapat sokongan padu rakyat negeri Kedah dan berada pada keadaan yang kuat ketika ini.- UTUSAN

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN