MACHANG: UMNO Kelantan kekal dengan pendirian untuk bergerak solo pada Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15) sebagaimana ketetapan dibuat dalam mesyuarat badan perhubungan parti itu sebelum ini.
Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Kelantan, Datuk Ahmad Jazlan Yaakob berkata, bukan itu sahaja parti tersebut juga tidak mahu dikaitkan dengan mana-mana gerakan mahupun parti-parti politik lain.
“Ada yang bertanya kepada saya mengenai penglibatan dengan Save Kelantan, jadi jawaban saya, kita tiada gabungan politik untuk PRU15. Save Kelantan tidak boleh masuk pilihan raya kerana mereka bukan parti politik.
“Bukan sahaja Save Kelantan, kita juga tidak terlibat dengan mana-mana gerakan kesedaran rakyat,” katanya selepas merasmikan Karnival Sahabat Usahawan Amanah Ikhtiar Malaysia (AIM) cawangan Machang di Pusat Transformasi Ilmu, Bukit Tiu Machang, di sini, hari ini.
Ahli Parlimen Machang itu memberitahu, UMNO Kelantan bagaimanapun mengalu-alukan mana-mana ahli politik untuk menyertai parti tersebut.
Katanya, setakat ini sudah ramai ahli peringkat akar umbi daripada Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) sudah kembali menyertai UMNO.
“Namun di peringkat atasan (pemimpin) tidak ada secara rasmi. Kalau mereka ingin masuk,sudah tentu mereka tidak akan masuk melalui kita kerana mereka akan masuk melalui Ibu Pejabat (pusat),” ujarnya.
Sementara itu, Ahmad Jazlan berkata, UMNO Kelantan juga tidak akan memberi peluang kepada bekas pemimpin yang keluar parti itu sebelum ini untuk kembali bertanding pada PRU15 meskipun mereka mempunyai ‘aura’ dan pengaruh kuat dalam kalangan masyarakat.
Menurut beliau, walaupun UMNO mengalu-alukan mana-mana ahli politik untuk menyertai parti itu, namun ia tidak bermakna mereka akan mendapat tempat atau menjadi calon pada PRU nanti.– UTUSAN