Projek Perlindungan Sosial Malaysia fokus golongan rentan - Utusan Malaysia

Projek Perlindungan Sosial Malaysia fokus golongan rentan

RUJI Ubi (kiri) dengan Kanni Wignaraja (tengah) dan Niloy Banerjee (kanan) pada pelancaran Projek Perlindungan Sosial Malaysia di Putrajaya hari ini. - UTUSAN/AMREE AHMAD
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PUTRAJAYA: Selepas Pangkalan Data Perlindungan Sosial (PDPS) diperkenalkan akhir Mac lalu, Projek Perlindungan Sosial Malaysia dilancarkan dengan fokus kepada golongan rentan.

Uniknya, projek khas diuruskan oleh Unit Penyelarasan Pelaksanaan (ICU) Jabatan Perdana Menteri (JPM) itu turut mendapat kerjasama erat daripada Pertubuhan Bangsa Bersatu (PBB) Menerusi Agensi Program Pembangunan PBB (UNDP) sebagai memudah cara usaha perlindungan sosial tempatan agar lebih berdaya cekap.

Menurut Ketua Pengarah ICU JPM, Datuk Ruji Ubi, projek berkenaan menyokong PDPS dilancarkan Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob pada 23 Mac lepas iaitu merupakan inisiatif kesinambungan usaha Majlis Perlindungan Sosial Malaysia (MySPC) yang diwujudkan kerajaan pada 2019 lalu.

“Dengan dibarisi 15 menteri dan empat jawatan kuasa kerja diselaraskan ICU JPM sebagai sekretariat, majlis ini turut membuktikan iltizam kerajaan untuk bantu rakyat yang rentan,” tegasnya ketika berucap pada acara pelancaran itu, di sini hari ini.

Selain perasmian projek berkenaan, tema ‘Pengukuhan Dasar demi Pertumbuhan dan Inklusif,’ acara tersebut turut diisi dengan ucap tama Penolong Setiausaha Agung PBB, Kanni Wignaraja serta Wakil Tetap UNDP Malaysia, Singapura dan Brunei, Niloy Banerjee.

Program jangka panjang secara berterusan itu bermatlamat membantu golongan terkesan pasca pandemik Covid-19 untuk kembali pulih dengan akhirnya mengurangkan jurang sosioekonomi.

Di Malaysia, usaha bersepadu pelbagai agensi itu turut sejajar misi Wawasan Kemakmuran Bersama 2030 yang diselaraskan Matlamat Pembangunan Mampan (SDG) ditetapkan PBB sendiri.

Ujar beliau, PDPS yang bakal beroperasi sepenuhnya menjelang 2025 nanti, akan meningkatkan kecekapan penyampaian perkhidmatan untuk golongan sasar secara lebih optimum.

Kerajaan katanya, juga menyedari keperluan diwujudkan rangka kerja dasar perlindungan sosial nasional seperti digariskan di bawah Rancangan Malaysia Ke-12.

Justeru, tambahnya, kerjasama badan-badan bukan kerajaan amat dihargai bagi menjayakan projek bersama UNDP itu agar tiada lagi isi rumah miskin tegar diabaikan tanpa dibantu sesiapa.

Beliau turut berterima kasih kepada PBB yang optimis bekerjasama dalam projek itu sekali gus membuktikan keyakinan tinggi organisasi global tersebut sendiri kepada imej pihak kerajaan. –UTUSAN ONLINE

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya