Polis Pahang catat kerugian jenayah komersial RM31.4 juta  - Utusan Malaysia

Polis Pahang catat kerugian jenayah komersial RM31.4 juta 

RAMLI Mohamed Yoosuf (kiri) menunjukkan carta modus operandi yang digunakan sindiket jenayah komersial dalam sidang akhbar khas di Ibu pejabat Polis Kontinjen Pahang di Kuantan, Pahang. - UTUSAN/ DIANA SURYA ABD WAHAB
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUANTAN: Polis negeri merekodkan peningkatan sebanyak 25.6 peratus kerugian kes jenayah komersial yang dianggarkan berjumlah RM31.4 juta bagi tempoh Januari hingga Julai tahun ini, berbanding RM25 juta bagi tempoh sama tahun lalu.

Ketua Polis negeri, Datuk Seri Ramli Mohamed Yoosuf berkata, jumlah tersebut yang menunjukkan tren menaik merupakan sesuatu yang membimbangkan. 

Menurutnya, penguatkuasaan di bawah Jabatan Siasatan Jenayah Komersial (JSJK) Pahang dan kesedaran masyarakat perlu dipertingkatkan dari semasa ke semasa bagi mengekang penularan kes terus mendadak di negeri ini.

“Berdasarkan maklumat diperoleh, jumlah laporan polis diterima JSJK Pahang bagi tujuh bulan pertama tahun ini adalah 6,338 laporan.

“Kadar pertuduhan daripada jumlah kertas siasatan yang berjaya dibuka membabitkan seluruh Pahang, adalah sebanyak 588 bagi tempoh sama.

“Dalam pada itu, Kuantan merupakan daerah mencatatkan rekod tertinggi bagi kes ini yang mana sebanyak 609 kertas siasatan dibuka dengan 236 kes berjaya dituduh di mahkamah,” katanya kepada dalam sidang akhbar khas di Ibu pejabat Kontinjen Pahang di sini hari ini.

Mengulas lanjut, Ramli berkata, pihaknya juga melakukan penguatkuasaan bagi membanteras jenayah komersial secara dalam talian. 

“JSJK Pahang berjaya membuat tangkapan sebanyak 154 berbanding sasaran 150 tangkapan yang ditetapkan oleh JSJK Bukit Aman, bagi tempoh sama tahun ini.

“Mereka yang ditangkap berusia dalam lingkungan 21 tahun hingga 64 tahun terdiri daripada 107 lelaki dan 47 wanita yang terdiri daripada golongan penganggur, pekerja swasta dan peniaga yang didapati memberi, meminjam dan menjual akaun kepada pihak ketiga. 

“Semua mereka ini tidak akan terlepas daripada tindakan undang-undang apabila dituduh di mahkamah, malah, implikasinya sangat besar sehingga boleh menjejaskan masa hadapan mereka,” katanya. 

Sementara itu, Ramli turut memaklumkan modus operandi terbaharu dikesan dalam kalangan suspek yang bertindak memperdaya mangsa melalui tawaran perkhidmatan pembantu rumah melalui laman sosial Facebook.

“Tawaran diberikan ejen syarikat dalam aplikasi WhatsApp, Telegram atau Wechat bagi menempah pembantu rumah dengan bayaran sejumlah RM1,500 dan suspek akan menghantar satu pautan yang disyaki mengandungi virus komputer bernama (spyware, trojan, malware) kepada pengadu yang kemudiannya mengakibatkan kegagalan log masuk perbankan secara dalam talian pada kali pertama walaupun kata laluan yang diisi adalah betul.

“Maklumat perbankan kemudiannya dirakam oleh suspek secara sembunyi dan suspek akan mengeluarkan kesemua wang yang ada dalam akaun.

“Namun, setakat ini di negeri ini, pihak JSJK Pahang masih belum menerima sebarang laporan polis yang dibuat berkaitan modus operandi terbaharu itu,” katanya. –UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya.