Polis lengkapkan siasatan kes ugut tular dalam media sosial - Utusan Malaysia

Polis lengkapkan siasatan kes ugut tular dalam media sosial

TANGKAP layar seorang lelaki melakukan ugutan sambil memegang parang yang tular dalam media sosial hari ini. - UTUSAN-MEDIA SOSIAL
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

LUMUT:  Polis sedang melengkapkan siasatan kes seorang lelaki melakukan ugutan jenayah sambil memegang parang di Manjung yang mana video kejadian itu tular dalam media sosial hari ini.

Ketua Polis Daerah Manjung, Asisten Komisioner Nor Omar Sappi berkata,  kejadian itu disebabkan suspek mendakwa sebidang tanah di mana dia berada ketika kejadian adalah miliknya sedangkan namanya tiada dalam geran tanah tersebut.

Menurutnya, video kejadian itu dikesan kira-kira pukul 9.30 pagi tadi yang dimuat naik oleh pemilik akaun Facebook ‘Kongsi Segala Info’ manakala terdahulu, satu laporan polis diterima berkaitan kejadian itu di Balai Polis Pantai Remis dekat sini.

“Pengadu seorang perempuan berusia 60-an yang menyatakan ketika berada di tanah miliknya kira-kira pukul 3.30 petang 9 April lalu, seorang lelaki yang juga anak saudaranya berusia 50-an datang ke situ.

“Lelaki itu membawa sebilah parang dan sebotol tong besar disyaki berisi minyak petrol sambil mengeluarkan kata-kata ugutan mahu melibas kepala serta memenggal kepala pengadu dengan parang dan akan membakar rumah yang sedang dibina oleh pemilik tanah,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Menurut beliau, berikutan itu, sepasukan anggota daripada Bahagian Siasatan Jenayah, Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Manjung menahan suspek di pekarangan IPD Manjung kira-kira pukul 2.20 petang pada 21 Jun lalu sebelum dibebaskan pada hari sama selepas mengambil keterangan daripadanya.

Jelasnya, suspek yang bekerja sendiri dan tiada rekod jenayah mengakui mengeluarkan kata-kata ugutan jenayah tersebut kepada pengadu sambil memegang sebilah parang kerana tidak berpuas hati berhubung pemilikan tanah tersebut.

Nor Omar memaklumkan, kertas siasatan kes itu telah dirujuk kepada pihak Timbalan Pendakwa Raya pada 25 Julai lalu namun masih terdapat beberapa arahan lanjut yang perlu dilengkapkan. 

Oleh itu, jelas beliau, kertas siasatan akan dirujuk semula kepada pihak Timbalan Pendakwa Raya untuk arahan selanjutnya sebelum pertuduhan dijalankan. 

“Kes disiasat di bawah Seksyen 506 Kanun Keseksaan iaitu ugutan yang hendak menyebabkan kematian atau cedera parah, atau hendak menyebabkan kebinasaan apa-apa harta dengan api, dan jika disabitkan kesalahan boleh dihukum dengan mati atau penjara selama tempoh yang boleh sampai tujuh tahun,” ujar beliau. –UTUSAN

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya.