PETALING JAYA: Polis membuka kertas siasatan terhadap penganjuran perhimpunan penyerahan memorandum oleh sebuah badan bukan kerajaan (NGO) di Istana Negara dekat sini, semalam.
Ketua Polis Daerah Brickfields, Asisten Komisioner Amihizam Abdul Shukor berkata, semasa sepasukan Polis dari Ibu pejabat Polis Daerah Brickfields dan Balai Polis Travers menjalankan penugasan kawalan keselamatan serta pemantauan di pekarangan luar Pintu 3, Istana Negara didapati wujud perhimpunan penyerahan memorandum oleh Pertubuhan Jalinan Perpaduan Negara Malaysia (PJPNM) pada pukul 2 petang semalam.
Katanya, dianggarkan seramai 300 orang berpakaian serba hitam berkumpul sambil melaungkan slogan “Hidup Najib” dan “Bossku”.
“Pihak Polis mendapati penganjur perhimpunan tidak mengemukakan sebarang permohonan untuk mengadakan perhimpunan ini.
“Justeru, pihak polis akan membuka siasatan dan memanggil penganjur perhimpunan terbabit,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Ujarnya, Polis Brickfields menasihatkan orang ramai supaya sentiasa berwaspada sama ada perbuatan atau ucapan yang boleh mengancam ketenteraman awam di negara ini, khususnya di bandar raya Kuala Lumpur.
“Pihak polis juga menyeru orang ramai supaya tidak berkumpul atau mengadakan sebarang perhimpunan tanpa kebenaran yang sah.
“Sebarang maklumat bolehlah disalurkan ke Hotline Polis Kuala Lumpur di talian 03-2115 9999 atau mana- mana Balai Polis yang berdekatan,” ujarnya.
Semalam Utusan Online melaporkan satu memorandum diserahkan JPNM kepada Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah bagi menuntut pengampunan diraja serta merta terhadap bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak.
Selain itu, memorandum berkenaan turut menuntut permohonan diraja untuk menitah Peguam Negara, Ketua Pesuruhjaya dan Pengarah Bahagian Pengubahan Wang Haram dan Pelucuthakan Harta (AMLA) Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) mengadap Yang di-Pertuan Agong berhubung kes konflik berkepentingan (conflict of interest) membabitkan siasatan Hakim Negara, Datuk Nazlan Ghazali.
Presiden PJPNM, Syed Mohamad Imran SN Syed Abdul Aziz ketika ditemui berkata, tuntutan mengenai pengampunan diraja terhadap Najib perlu dilakukan kerajaan.
Kata beliau, Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob harus memberi satu surat kepada Yang di-Pertuan Agong, agar pengampunan itu diberikan.
“Kami desak campur tangan Perdana Menteri. Kami tak mahu subahat. Selaku ahli UMNO, kami akan tarik sokongan supaya ada pembubaran Parlimen jika tiada tindakan dibuat,” katanya.- UTUSAN