Perdana Menteri tetap 'poster boy' BN - Utusan Malaysia

Perdana Menteri tetap ‘poster boy’ BN

ISMAIL SABRI YAAKOB
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Barisan Nasional (BN) dan Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO membuat keputusan pada 14 April lalu bahawa Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob sebagai ‘poster boy’ parti.

Ahli MKT UMNO, Datuk Seri Jalaluddin Alias berkata, tiada keputusan lain berhubung perkara itu dan ‘poster boy’ merupakan amalan tradisi BN yang menjadi sebahagian strategi membawa kemenangan dalam pilihan raya.

Sehubungan itu katanya, para pemimpin dan ahli parti tidak wajar memberi kenyataan yang boleh menyakitkan dan merenggangkan lagi hubungan antara sesama ahli parti.

“Parti dan MKT telah buat keputusan pada 14 April lalu bahawa Perdana Menteri sebagai ‘poster boy’, tidak ada keputusan lain selain itu. Maka semua peringkat kepimpinan dan ahli parti harus ikut keputusan pucuk pimpinan parti. 

“Ini juga melambangkan sikap berjiwa besar Presiden UMNO, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi dan juga Timbalan Presiden UMNO, Datuk Seri Mohamad Hasan yang meletakkan kepentingan parti demi kemenangan BN, lebih penting berbanding jawatan.

“Justeru, saya berpandangan tiada isu berbangkit mengenai pemilihan dan kerelevanan ‘poster boy’ BN ketika kita menempuh Pilihan  Raya Umum Ke-15 (PRU15) akan datang. Dalam kita menghadapi suasana yang getir sebegini, yang penting ialah solidariti dalam parti,” katanya dalam satu kenyataan di laman Facebooknya semalam.

Terdahulu, Ahli MKT UMNO,  Datuk Dr. Mohd. Puad Zarkashi menyatakan bahawa parti itu tidak memerlukan ‘poster boy’ untuk berdepan PRU15 kerana dianggap tidak lagi relevan dan boleh menjadi bola tanggung, ‘punching bag’ atau senjata makan tuan.

Menurut Jalaluddin, ketika semua bersimpati dengan kes yang dihadapi Penasihat BN, Datuk Seri Najib Tun Razak, apa yang penting ialah kematangan untuk menghadapi suasana getir ini. 

“Saya harap pemimpin dan ahli parti tidak membuat kenyataan yang boleh menyakitkan hati orang, merugikan parti dan merenggangkan hubungan antara satu sama lain. Buat masa ini, semua ahli parti dan kepimpinan mesti duduk di bawah satu kesepaduan dan solidariti antara kita harus dikukuhkan.

“Ini bukan kali pertama parti berhadapan dengan krisis dan masalah, sejarah telah terbukti bahawa kita sudah berjaya menghadapi dan menangani setiap masalah dengan kesepakatan yang kita amalkan sejak sekian lama. 

“Maka itu mesti menjadi amalan dikalangan ahli parti dan saya berpandangan kita harus berhati-hati di dalam mengeluarkan kenyataan. Lebih baik berdiam diri daripada bercakap sesuatu perkara yang boleh memberi kerugian dan merenggangkan hubungan antara satu sama lain di dalam parti,” katanya. –UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN