KUALA TERENGGANU: Seorang penjawat awam direman enam hari bermula hari ini kerana disyaki menerima rasuah sebanyak RM35,000 sebagai balasan untuk membantu kes mahkamah yang dikendalikan oleh beliau, semalam.
Perintah reman itu dikeluarkan Majistret Nordiana Ab. Aziz selepas permohonan dibuat Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Terengganu di Mahkamah Majistret Kuala Terengganu di sini, hari ini.
Menurut sumber SPRM, penjawat awam berusia 40-an itu bertugas di bahagian penguatkuasaan sebuah jabatan kerajaan di negeri ini.
Katanya, tangkapan tersebut hasil daripada operasi yang dijalankan oleh SPRM selepas menerima laporan berkaitan kes tersebut.
“Suspek ditahan di sekitar bandar ini pada pukul 4.15 petang semalam,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.
Tambahnya, penahanan penjawat awam itu untuk siasatan di bawah Seksyen 16(a)(B) Akta SPRM 2009. –UTUSAN ONLINE