PETALING JAYA: Kerajaan akan merangka kawal selia dan garis panduan sekiranya kajian klinikal mendapati ganja selamat dan berkesan untuk tujuan kesihatan.
Menteri Kesihatan, Khairy Jamaluddin berkata, bagaimanapun penggunaaan bahan itu bagi tujuan rekreasi adalah dilarang.
“Jika bukti klinikal terkumpul menunjukkan ganja selamat dan berkesan untuk tujuan perubatan, kita akan merangka rangka kerja kawal selia dan garis panduan amalan klinikal. Ambil maklum, penggunaan rekreasi tidak dibenarkan,” tulis Khairy di Instagram beliau.
Khairy sedang mengadakan lawatan kerja empat hari ke Bangkok di atas undangan rakan sekerjanya, Anutin Charnvirakul yang juga Timbalan Perdana Menteri Thailand.
Beliau sebelum ini memaklumkan Malaysia berminat untuk mengetahui dengan lebih mendalam mengenai ganja terutama dalam aspek aplikasi berasaskan penyelidikan dan produk farmaseutikal untuk kegunaan perubatan.
Khairy juga berharap Malaysia dan Thailand akan terus saling bertukar pengetahuan teknikal dan penyelidikan klinikal untuk memastikan keselamatan serta keberkesanan produk berkenaan dalam perubatan.
Pada 9 Jun lalu, Thailand menjadi negara Asia Tenggara pertama yang membenarkan penanaman dan pemilikan kanabis untuk perubatan.
Kerajaan Thailand menjangkakan industri ganja negara itu, melibatkan lebih 1,000 produk makanan dan kosmetik, akan menghasilkan AS$435.16 juta (RM1.95 bilion) menjelang 2026. –UTUSAN ONLINE