Pemandu treler terjunam miliki 22 saman trafik - Utusan Malaysia

Pemandu treler terjunam miliki 22 saman trafik

KEADAAN treler yang terjatuh dari laluan lebuh raya ke Jalan Kuala Kangsar di Ipoh hari ini. - UTUSAN/MUHAMAD NAZREEN SYAH MUSTHAFA
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

IPOH: Pemandu treler yang terbabas hingga menyebabkan kenderaan dipandunya terjatuh dari laluan lebuh raya ke Jalan Kuala Kangsar di sini, mempunyai 22 rekod saman atas pelbagai kesalahan trafik.

Ketua Polis Daerah Ipoh, Asisten Komisioner Yahaya Hassan berkata, daripada jumlah itu, empat saman membabitkan kesalahan kemalangan.

Katanya, semakan juga mendapati, treler yang terlibat dalam nahas itu mempunyai 41 rekod saman trafik terkumpul.

“Ujian saringan air kencing dilakukan ke atas lelaki berusia 50 tahun itu dan mendapati bebas daripada pengaruh dadah.

“Malah, hasil pemeriksaan juga mendapati, lelaki terbabit tidak memandu di bawah pengaruh alkohol ketika kemalangan berlaku,” katanya di sini hari ini.

Menurut beliau, kemalangan itu menyebabkan pemandu treler cedera ringan manakala tiada kemalangan jiwa membabitkan pengguna jalan raya lain.

Katanya, siasatan lanjut kes itu dijalankan mengikut Peraturan 10 Kaedah-Kaedah Lalu Lintas Jalan 1959 (Rule 10 LN 166/59).

“Kemalangan ini mengakibatkan kesesakan lalu lintas namun tindakan pantas diambil dengan membuat lencongan dan kawalan bagi memastikan kelancaran  di jalan tersebut,” katanya.

Dalam kejadian sekitar pukul 12.30 tengah hari di Kilometer 271.2, Lebuhraya Utara-Selatan arah utara, sebuah treler tanpa muatan hilang kawalan lalu terbabas dan terjatuh ke Jalan Kuala Kangsar.

Siasatan awal mendapati, nahas itu berpunca daripada kegagalan brek kenderaan itu berfungsi. –UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN