Peluang menikmati 670 menu makanan

Peluang menikmati 670 menu makanan

PENGUNJUNG menunjukkan masakan tiram yang dibeli di Empayar Makanan MAHA 2022 di Serdang, Selangor, semalam. – UTUSAN/MUHAMAD IQBAL ROSLI
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SERDANG: Gerai makanan tradisi suku Bajau adalah antara 670 menu masakan tradisional dan moden yang boleh dikunjungi di kluster Empayar Makanan Pameran Pertanian, Hortikultur dan Agropelancongan Malaysia (MAHA) 2022.

Pemilik gerai Ubian Bajau, Mohd. Zani Suhadi berkata, pengunjung yang hadir berpeluang merasai resipi yang dibawa khas dari Sabah seperti kinilau, sagol ikan pari, sagol ikan yu, sagol ikan buntal, putu serta ikan bakar.

“Masakan seperti ini memang sukar untuk didapati di Semenanjung, jadi secara tidak langsung mereka yang menetap di sini dapatlah melepaskan rindu dengan makanan tradisi suku Bajau ini.

“Ini merupakan pengalaman pertama kami menyertai edisi MAHA 2022 selain turut mempunyai sebuah restoran di Kota Warisan, Sepang,” katanya ketika ditemui di sini, semalam.

Makanan jalanan Thailand turut menjadi tarikan di MAHA 2022.

Pemilik Street Thai Food Truck, Damia Loh berkata, trak makanannya yang berkonsepkan makanan jalanan Thailand menerima sambutan daripada para pengunjung terutamanya pada Sabtu dan Ahad.

Kata Damia, lempeng Krabi merupakan menu utama di samping masakan tomyam.

“Makanan ini memang digemari semua peringkat umur kerana ia tidak terlalu manis dan rangup pada bahagian hujung selain mempunyai pelbagai perisa.

“Sambutan pula memang di luar jangkaan terutamanya pada hujung minggu kerana pengunjung sudah mula beratur sebelum pukul 10 pagi untuk merasai keenakan lempeng Krabi,” katanya yang sudah memulakan perniagaan trak makanan itu sejak tahun 2008.

Sementara itu, Pengarah Bahagian Galakan Pasaran Dalam Negara Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (FAMA), Siti Nurul Haida Ibrahim berkata, sebanyak 670 menu disediakan di kluster Empayar Makanan membabitkan keseluruhan 63 usahawan.

Menurutnya, pengunjung yang hadir berpeluang merasai pelbagai jenis makanan terdiri daripada kiosk makanan warisan, makanan viral dan trak makanan. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×