Pasangan memadu asmara ‘kantoi’ diugut dua polis bantuan - Utusan Malaysia

Pasangan memadu asmara ‘kantoi’ diugut dua polis bantuan

SEKADAR GAMBAR HIASAN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

JOHOR BAHRU: Sepasang kekasih yang dipercayai sedang ‘berkhalwat’ di dalam kereta di belakang sebuah pusat beli-belah di bandar raya ini mendakwa ‘diugut’ oleh dua polis bantuan supaya tidak dikenakan tindakan.

Ketua Polis Daerah Johor Bahru Selatan, Asisten Komisioner Raub Selamat berkata, dua anggota polis bantuan itu meminta wang sebanyak RM500 sebagai ‘ganjaran’ supaya mereka tidak mengambil tindakan terhadap pasangan berkenaan.

Bagaimanapun, pasangan tersebut memaklumkan tidak mempunyai wang tunai mencukupi.

“Kedua-dua suspek yang berusia 25 dan 32 tahun itu kemudian meminta pengadu (lelaki) menyerahkan kad ATM miliknya berserta nombor pin bagi membolehkan mereka mengeluarkan sendiri wang tersebut.

“Tidak lama selepas dilepaskan oleh kedua-dua suspek, pengadu menerima pesanan ringkas dalam telefon bimbitnya memaklumkan terdapat pengeluaran berjumlah RM1,000 dibuat daripada akaun bank miliknya,” katanya dalam satu kenyataan, di sini hari ini.

Pengadu kemudian membuat laporan tentang kejadian itu di Ibu pejabat Polis Daerah (IPD) Johor Bahru Selatan (JBS) pada pukul 11.23 pagi semalam.

“Siasatan awal dibuat mendapati kedua-dua suspek merupakan anggota polis bantuan yang bertugas di kawasan bangunan pusat beli-belah berkenaan.

“Bertindak atas maklumat, kedua-dua suspek berjaya ditahan sepasukan pegawai dan anggota polis daripada Bahagian Siasatan Jenayah IPD JBS pada pukul 9 malam, semalam.

“Polis turut merampas wang tunai berjumlah RM1,000 yang merupakan barang kes,” katanya sambil memberitahu kedua-dua suspek kini dikenakan tahanan reman selama empat hari bermula hari ini dan kes disiasat mengikut Seksyen 384 Kanun Keseksaan. –UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya.