NGO mahu kerajaan bela nasib bekas tentera - Utusan Malaysia

NGO mahu kerajaan bela nasib bekas tentera

KEADAAN Mohamad Anuar Arshad dan isterinya yang tinggal di pondok tepi Sungai Pahlawan dekat Teluk Intan, Perak. - UTUSAN/AIN SAFRE BIDIN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PASIR SALAK: Beberapa pertubuhan bukan kerajaan (NGO) bekas tentera mahu pihak berkenaan membantu dan membela nasib seorang bekas tentera di sini yang terpaksa berteduh di sebuah pondok di tepi sungai selepas diarah keluar dari rumah yang dibina di atas tanah kerajaan yang diteroka di Kampung Air Tenang, Tukang Sidin dekat sini.

Presiden Pertubuhan Martabat Jalinan Muhibbah Malaysia (MJMM), Abdul Rani Kulup berkata, mereka akan memperjuangan nasib bekas tentera itu, Mohamad Anuar Arshad, 65, yang terpaksa rumah keluar dari rumah yang dibina di atas tanah yang diterokainya sejak 20 tahun lalu selepas dirobohkan baru-baru ini oleh syarikat yang memajak tanah tersebut.

Menurutnya, tindakan mengarahkan Mohamad Anuar keluar dari rumahnya tanpa sebarang pampasan tidak wajar kerana bekas tentera itu tidak mempunyai rumah lain untuk memulakan kehidupan baharu.

“Tindakan mengarahkan Mohamad Anuar keluar dari rumahnya begitu sahaja selepas mendiaminya sejak 20 tahun lalu tidak sepatutnya berlaku.

“Sepatutnya, ada pampasan untuk dia memulakan kehidupan baru bersama isterinya,” katanya ketika mengunjungi Mohamad Anuar di sini baru-baru ini.

Turut hadir kira-kira 30 bekas tentera dari Perak, Selangor, Kuala Lumpur dan Kedah termasuk ahli-ahli dua NGO bekas tentera iaitu Gerak Martabat Perjuangan Negara yang ketuai Presidennya, Razali Zakaria dan Sekretariat Gerakan Reformasi Veteran Angkatan Tentera (GRVATM) yang diketuai Pengerusinya, Azizan Abdul Rashid.

Abdul Rani berkata, pihaknya juga akan membuat laporan polis dan kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) berhubung pajakan tanah kepada sebuah syarikat terhadap tanah yang diterokai oleh Mohamad Azhar dan penduduk kampung yang lain.

Katanya, kerajaan wajar menggantikan tanah yang dipajak itu dengan tanah yang lain.

“Tanah yang diterokai seluas 64 ekar oleh penduduk kampung selama 20 tahun dan ada yang telah membina kehidupan mereka di sini.

“Setelah 20 tahun tanah yang ditanam kelapa sawit ini mengeluarkan hasil dan kini tanah ini dipajak kepada sebuah syarikat. Jadi, kami  mohon ganti semula tanah ini, kalau luasnya 64 ekar, ganti juga seluas 64 ekar,” katanya.

Menurutnya, tindakan mengarahkan Mohamad Anuar mengosongkan rumahnya tanpa sebarang pampasan dan pembelaan merupakan tidak wajar dilakukan.

“Kami akan perjuangan Mohamad Anuar, hormatilah dia sebagai bekas tentera.

“Kerana tiada apa-apa pembelaan, kini dia terpaksa duduk di pondok, jauh dalam hutan tanpa sebarang kemudahan asas.

“Kami tidak menentang undang-undang apabila tanah yang didudukinya selama ini dipajak oleh orang lain tetapi berilah pampasan untuk dia memulakan hidup baharu,” katanya.

Utusan Malaysia sebelum ini melaporkan keadaan Mohamad Anuar yang terpaksa akur apabila rumah yang duduki selama 20 tahun di tanah yang diteroka bersama penduduk kampung dengan tanaman kelapa sawit, akhirnya dirobohkan baru-baru ini.

Rumah itu dirobohkan setelah tanah tersebut dipajak oleh sebuah syarikat. –UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya