Negeri Sembilan, Melaka sama berat buat Aminuddin

Negeri Sembilan, Melaka sama berat buat Aminuddin

AMINUDDIN HARUN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SEREMBAN: Seperti dijangka, Menteri Besar Negeri Sembilan, Datuk Seri Aminuddin Harun masih dikekalkan bagi mengetuai PKR di negeri ini menerusi lantikan yang dibuat oleh Presiden parti itu, Datuk Seri Anwar Ibrahim, kelmarin.

Bagaimanapun, apa yang mengejutkan, Naib Presiden PKR itu turut dilantik sebagai Pengerusi Majlis Pimpinan Negeri (MPN) PKR Melaka.

Bagi mengembalikan semula kekuatan PKR di Melaka selepas kalah dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) tahun lalu, kemampuan Aminuddin untuk memikul tugas baharu itu pasti menimbulkan tanda tanya.

Walaupun dijangka bakal berdepan kesukaran di Melaka, cabaran politik di negeri kelahirannya iaitu Negeri Sembilan tentu lebih rumit apatah lagi untuk mempertahankan kemenangan Pakatan Harapan (PH) di negeri ini semasa pilihan raya umum yang lalu.

Setelah menghadapi beberapa cubaan dari dalam parti untuk menggantikannya sebagai Pengerusi MPN PKR Negeri Sembilan pada penggal lepas, Aminuddin kali ini dilihat tidak menghadapi situasi serupa selepas rata-rata individu yang membuat desakan sudah pun tewas dalam Pemilihan PKR yang lalu.

Kini fokus Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sikamat yang juga Pengerusi PH Negeri Sembilan itu adalah untuk menyediakan jentera parti bagi menghadapi Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15) selain mengenal pasti calon-calon sesuai untuk mewakili parti.

Di Melaka, beban yang dipikul Aminuddin mungkin berkurangan dalam siap siaga menghadapi PRU15 ekoran tumpuan hanya terarah kepada pertandingan kerusi Parlimen sahaja selepas PRN Melaka selesai dilaksanakan.

Cumanya, beliau kini perlu memikirkan formula untuk menyatukan kepemimpinan PKR di Melaka selain menyelesaikan segala perbalahan yang didakwa membelenggu parti itu di negeri tersebut selama ini.

Aminuddin tidak boleh tunggu lama untuk membentuk barisan jawatankuasa MPN di kedua-dua buah negeri berjiran itu ketika masa untuk PRU15 dilaksana dilihat begitu hampir dan menghimpit.

Walau apa pun, ia bukan tugas mudah, sebagai pemimpin nombor satu Negeri Sembilan, ditambah dengan menjadi pemimpin utama dalam parti, keupayaan dan kemampuan Aminuddin benar-benar teruji kali ini. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN