SHAH ALAM: UMNO Selangor mengingatkan rakyat bahawa bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak tetap mempunyai jasa kepada negara dan negeri ini khususnya walaupun Barisan Nasional (BN) tidak lagi mentadbir negeri ketika beliau menjadi Perdana Menteri.
Pengerusi Badan Perhubungannya, Tan Sri Noh Omar berkata, kepemimpinan UMNO negeri ini menzahirkan rasa simpati atas keputusan Mahkamah Persekutuan terhadap perbicaraan Najib semalam.
“Keputusan Mahkamah Persekutuan semalam tidak sama sekali dapat memadamkan jasa besar Najib Razak sebagai Perdana Menteri yang membawa Selangor dan Malaysia ke mercu kejayaan.
“Walaupun Selangor tidak ditadbir oleh BN, namun, banyak peruntukan pembangunan untuk kesejahteraan rakyat diluluskan dan dilaksanakan,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Beliau menambah Najib juga pernah menjadi Pengerusi Perhubungan UMNO Negeri Selangor daripada tahun 2009 hingga 2013.
Semalam, lima panel hakim diketuai Ketua Hakim Negara, Tun Tengku Maimun Tuan Mat secara sebulat suara mengekalkan sabitan dan hukuman penjara 12 tahun dan denda RM210 juta dihadapi Najib Razak dalam kes penyelewengan dana RM42 juta milik SRC International Sdn. Bhd..
Keputusan daripada Hakim Datuk Mohd Nazlan Mohd Ghazali pada 28 Julai 2020 dikekalkan selepas mereka selesai mendengar hujahan dan permohonan yang dikemukakan sepanjang rayuan akhir bermula sejak minggu lalu.
Bagaimanapun, Noh memaklumkan kepemimpinan UMNO Selangor berdukacita terhadap keputusan tersebut dan berharap Najib dan ahli keluarganya tidak berputus asa serta mengharapkan ahli UMNO tetap meneruskan perjuangan.
“Kami menzahirkan rasa dukacita apabila permohonan Najib untuk menangguhkan perbicaraan ditolak oleh mahkamah. Meskipun demikian, perjuangan UMNO dan BN mesti diteruskan demi kemaslahatan agama, bangsa dan tanah air.
“Kami mendoakan Najib dan keluarga tidak berputus asa, terus tabah dan cekal dalam menghadapi segala dugaan ini. Kepada Allah SWT kami berserah,” ujarnya. –UTUSAN ONLINE